Bomba guna kaedah 'water bombing' kawal kebakaran tanah gambut di Miri
Unit Udara Bomba Miri telah menggunakan kaedah menjatuhkan air dari udara atau "water bombing" untuk mengawal kebakaran tanah gambut yang kini sudah menghampiri kawasan Komplek Kebajikan Hamidah Yakub.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, operasi telah dilaksanakan bersama dengan Unit Udara Bomba Miri yang melakukan pemadaman api melalui kaedah "water bombing" selain daripada bantuan operasi pemadaman di darat dengan 1,590 liter air (1,590 litre of water for one drop) digugurkan sekali untuk kawasan tertentu kebakaran tersebut oleh unit udara.
"Kebakaran melibatkan kawasan seluas 32 hektar, setakat ini api masih belum padam tetapi keadaan masih terkawal kerana kebakaran masih belum merebak ke kawasan lain,"katanya hari ini.
Law berkata, pada masa sama asap masih lagi berada di kawasan tanah gambut yang telah dipadamkan menerusi kaedah "water bombing."
Untuk rekod Komplek Kebajikan Hamidah Yakub dimiliki Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (Peryatim) yang menempatkan anak-anak yatim pelbagai kaum di Sarawak berumur tujuh hingga 19 tahun.
- Bernama
POLIS-REMAN
REMPUH TUJUH KENDERAAN: PEMANDU BAS DIREMAN EMPAT HARI
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pemandu bas henti-henti milik RapidKL yang merempuh tujuh kenderaan di Ampang dekat sini, Khamis lepas ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata pemandu berusia 32 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh bas yang dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang di sini.
Satu klip video berdurasi 1 minit 37 saat yang memaparkan kejadian berkenaan turut tular dalam media sosial.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata hasil pemeriksaan awal mendapati pemandu berkenaan didapati positif dadah jenis Metamfetamin.
- Bernama

