Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Elaun kehadiran DUN S'ngor naik 6 kali ganda - Speaker

WAWANCARA | Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim mempertimbang berbagai kaedah bagi menggalakkan sesi perbahasan ketika Dewan Undangan Negeri bersidang bulan hadapan, antaranya dengan menaikkan elaun kehadiran untuk para ADUN.

Beliau berkata amat penting untuk memiliki dewan yang aktif, terutamanya dengan pembangkang hanya mempunyai lima daripada 56 kerusi DUN.

Ng berkata pembangkang yang kuat diperlukan bagi menyemak kerajaan yang memerintah supaya memastikan kecekapan urus tadbir dan mencegah rasuah serta memelihara kualiti cabang legislatif itu.

Pembangkang yang lemah akan menghalang kualiti perbahasan di dalam dewan, katanya.

"Saya akan mencari cara untuk menggalakkan ADUN, terutamanya wakil rakyat yang baru daripada kedua-dua pihak supaya dapat menggunakan platform ini dengan sebaik-baiknya bagi berbahas isu yang berkaitan (kepentingan) rakyat.

"Ini antara cabaran saya," katanya dalam wawancara Malaysiakini.

Sama seperti elaun parlimen

Ng, yang juga ADUN Sekinchan mencadangkan kenaikan enam kali ganda elaun kehadiran ADUN iaitu daripada elaun sekarang yang berjumlah RM75 sehari kepada antara RM300 hingga RM500 sehari, sama seperti amalan parlimen.

"Elaun lama ini yang bertujuan untuk menggalakkan kehadiran penggubal undang-undang tidak cukup menarik.

"Elaun RM75 sehari telah ditetapkan selama berdekad-dekad," maklum beliau.

Beliau berkata jika langkah ini dilaksanakan kerajaan negeri sepatutnya memiliki kemampuan untuk menampung kenaikan ini.

Bagaimanapun, langkah-langkah akan diambil bagi menyelia ADUN daripada hanya sekadar menandatangani kehadiran untuk mendapatkan elaun.

Ng berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk meletakkan mesin pengimbas cap jari atau kad tebuk (punch card) di pintu masuk Dewan Undangan Negeri dan elaun kehadiran hanya diberikan kepada ADUN yang hadir penuh sepanjang sidang berlangsung pada hari itu.

"Pada akhir sidang, kami boleh memuatnaik kehadiran wakil rakyat di laman web kami (DUN Selangor) dan rakyat boleh mengakses indeks prestasi utama (KPI) para ADUN," katanya.

Paparan umum rekod kehadiran ini membolehkan pengundi memantau secara langsung prestasi wakil rakyat mereka di dalam DUN, jelasnya.

Namun, speaker DUN berkata hal ini bukan bertujuan untuk memalukan seseorang ADUN tetapi bagi memastikan mereka tidak menjadi kaki ponteng.

Selain menggalakkan kehadiran, Ng juga mempertimbangkan untuk mewajibkan setiap ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan bajet dan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata ADUN akan mengkaji cadangan itu dan cara untuk melaksanakannya.

Ng juga bersetuju jika wakil rakyat daripada gabungan parti pemerintah dibenarkan untuk mengundi berdasarkan pilihan mereka berbanding keputusan parti.

Beliau berkata tidak ada masalah dengan saranan undi rahsia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS