Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Negara pecah tradisi: Bakal bahas GST, SST sebelum titah Agong
Diterbitkan:  Aug 18, 2018 11:17 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

PARLIMEN | Dewan Negara bakal memecah tradisi apabila akan membahaskan rang undang-undang (RUU) kerajaan semasa sidang pertama pada sesi sulungnya akan datang ini.

RUU berkaitan GST dan SST berada di senarai teratas perbahasan Dewan Negara.

Perbahasan sulung RUU kerajaan berlawanan dengan amalan biasa pembukaan sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama beberapa hari ketika awal sidang dewan.

Menurut kalender laman parlimen, para senator akan membahaskan RUU dan urusan kerajaan pada dua hari pertama sidang Dewan Negara yang bakal berlangsung pada 20 dan 27 Ogos ini.

Manakala tarikh 28 Ogos ke 30 Ogos dijadualkan untuk usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong disusuli sesi perbahasan pada 3 September dan jawapan menteri untuk tiga hari berikutnya.

Hari terakhir sidang Dewan Negara pada 12 September pula dijadualkan untuk sekali lagi mempertimbangkan RUU dan urusan kerajaan.

Aturan mesyuarat dewan

Jadual sidang para senator ini dipaparkan dalam aturan mesyuarat Dewan Negara untuk 20 Ogos 2018.

Mengikut senarai itu, aturan urusan pertama kerajaan menyatakan Kementerian Dalam Negeri untuk membawa usul mengarahkan ketua polis negara untuk memastikan keselamatan parlimen, termasuk memastikan laluan selamat bagi anggotanya.

Ini diikuti oleh pelbagai RUU kerajaan yang diluluskan Dewan Rakyat, dengan lima RUU yang pertama berkaitan dengan GST dan SST.

RUU tersebut berdasarkan turutan adalah: Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018, Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Rang undang-undang lain yang diperuntukkan bagi perbahasan adalah Rang Undang-undang Perbekalan Bekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, Rang Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pembubaran) 2018, dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018.

Terakhir dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Negara, senator Mohd Nor Manuty akan membawa usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang telah disampaikan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 17 Julai.

Kerajaan bercadang untuk menggantikan GST dengan SST bermula pada 1 September ini.

Walau bagaimanapun, HARAPAN menghadapi cabaran serius daripada BN terhadap RUU yang diusulnya kerana BN masih mengawal majoriti Dewan Negara.

Lihat Komen
ADS