Petronas hari ini telah menarik balik keputusan menaikkan harga gas asli untuk kenderaan (NGV) berkuatkuasa mulai esok, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, pihaknya telah menasihatkan Petronas NGV supaya menangguhkan keputusan menaikkan harga runcit NGV.

Ia adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini yang tidak akan menaikkan harga produk petroleum sehingga 31 Disember bagi mengurangkan beban ke atas pemilik kenderaan, khususnya dan pengguna amnya.

Semalam, Petronas telah mengumumkan bahawa harga NGV yang dijual di stesen-stesen minyak telah dinaikkan kepada 81 sen seliter daripada 68 sen sebelum ini.

Menurut Bernama , syarikat itu berkata, pada harga 81 sen seliter, perbezaan harga NGV kini adalah 50 peratus daripada harga gasolin.

Ini, adalah seiring dengan kelulusan terdahulu kerajaan yang harga NGV sepatutnya berada pada 50 peratus berbanding harga gasolin yang pada masa ini harga runcitnya 162 seliter, kata Petronas.