Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Perjanjian dengan Geely: Proton diharap tembusi pasaran China

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru sahaja menyelesaikan bahagian pertama lawatan sulungnya ke China di Hangzhou selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Proton Holdings dan Zhejiang Geely Holding.

Perjanjian itu juga membolehkan Proton memanfaatkan teknologi tenaga baru Geely Auto dan menggunakan platform teknologi terasnya.

Mahathir, yang juga merupakan pengasas Proton, projek kereta nasional pertama yang ditubuhkan pada tahun 1983 ketika menjadi perdana menteri kali pertama, mengalu-alukan potensi kemasukan ke pasaran China.

"Melihat apa yang Geely lakukan, saya fikir mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta elektrik bersama Proton.

"Saya percaya ia mencukupi untuk pasaran Asean dan mungkin pasaran lain," kata Mahathir.

PM berlepas ke Shanghai dengan kereta api laju

Majlis menandatangani perjanjian antara Pengarah Urusan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Presiden Geely Holding Group, An Cong Hui itu turut dihadiri oleh Pengerusi Geely Holding Group, Liu Shufu.

Dengan termeterainya perjanjian usaha sama antara Proton dan Geely, maka ia menandakan potensi kereta nasional itu untuk menembusi pasaran China, kata Syed Faisal Albar merangkap Pengerusi Proton Holdings Bhd.

Syed Faisal berkata perjanjian usaha sama itu termasuk mewujudkan kemudahan pemasangan dan pengeluaran kenderaan di China dan pembangunan rangkaian peniaga untuk memasarkan kenderaan Proton di negara ini.

"Kemasukan Geely sebagai rakan strategik Proton telah membuka laluan mudah bagi penyertaan Proton ke pasaran China yang menguntungkan," katanya.

Menteri Industri Utama Teresa Kok, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faisal Azumu antara yang hadir majlis tersebut.

Sebelum menandatangani perjanjian, Mahathir melawat Geely Auto Experience Centre, yang mempamerkan model kereta hibrid terbaru oleh Geely.

Dr Mahathir juga berpeluang memandu uji kereta di pusat itu.

Proton dijangka melancarkan kenderaan SUV yang pertama pada suku keempat tahun ini.

Perdana menteri bertemu dengan kakitangan Proton di Geely dalam sesi tertutup sebelum berlepas ke Shanghai menaiki kereta api laju.

Kunjungi ibu pejabat Alibaba

Sebelum ke Geely, delegasi perdana menteri melawat Alibaba. Julai lalu, pengasas Alibaba, Jack Ma mengunjungi Mahathir di Putrajaya selepas PRU14 dan mengundang beliau melawat ibu pejabat Alibaba di Hangzhou.

Dalam taklimat media, Mahathir menyuarakan minatnya terhadap kepakaran Alibaba sebagai peneraju utama teknologi untuk manfaat negara.

"Saya ingin mengucapkan tahniah (kepada Alibaba) dan lebih daripada itu, saya mahu memanfaatkan idea inovatif kamu supaya Malaysia juga boleh mendapat faedah daripada teknologi moden ini.

"Anda telah mengusahakan sistem penghantaran untuk mempercepat akses kepada maklumat, data dan semua perkara ini. Saya fikir ia akan sepenuhnya menjana daya tenaga yang ada dalam teknologi moden," katanya.

Perdana menteri juga telah mengadakan perbincangan tertutup dengan eksekutif Alibaba. Beliau disertai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

[Baca berita penuh]


Liputan Malaysiakini di China oleh Norman Goh dan wartawan KiniTV, Vivian Yap.

Lihat Komen
ADS