Hanipa gesa SPR ambil berat teguran BERSIH
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil berat teguran BERSIH berhubung pelanggaran kesalahan pilihan raya di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.
"Saya ingin menegaskan bahawa pihak kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dikemudikan oleh perdana menteri apatah lagi kementerian yang menteri dan saya duduk di bawahnya sentiasa komited untuk memastikan setiap pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR dapat dilaksanakan dengan jayanya secara bersih, adil dan saksama kepada kesemua pihak.
"Oleh yang demikian, saya sendiri mengharapkan segala teguran ikhlas yang diberikan oleh mana-mana pihak misalnya oleh BERSIH hendaklah diambil berat oleh SPR tanpa rasa gentar dan memihak," katanya melalui kenyataan hari ini.
Hanipa yang juga merupakan anggota parlimen Sepang menyifatkan teguran BERSIH itu sebagai "teguran ikhlas" dan memberi jaminan bahawa kementeriannya tidak akan campur tangan dengan peranan dan tanggungjawab SPR.
Pada sidang media semalam, BERSIH mengingatkan agar semua calon yang terlibat dalam PRK Balakong dan Seri Setia bulan depan tidak melakukan kesalahan seperti yang berlaku di Sungai Kandis sebelum ini.
Pemerhatian BERSIH pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu mendapati terdapat tiga kategori kesalahan yang dilakukan parti politik sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
Kesalahan itu ialah pengagihan hadiah atau sumbangan, penggunaan harta dan program kerajaan serta amalan politik perkauman serta melibatkan agama.
BERSIH menjelaskan bahawa empat kes pengagihan hadiah direkodkan pada PRK Sungai Kandis, masing-masing dua oleh BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Selain itu, BERSIH juga menyorot bahawa lima kesalahan melibatkan aset kerajaan dilakukan oleh HARAPAN termasuklah apabila calon PKR Mohd Zawawi Mughni menghadiri program kerajaan di sekolah yang menjadi pusat pembuangan undi.

