Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled: Najib, keluarga perlu kongsi maklumat tentang Jho Low
Diterbitkan:  Aug 19, 2018 3:08 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Datuk Seri Najib Razak dan keluarga beliau bertanggungjawab berkongsi maklumat mengenai keberadaan Jho Low, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bekas menteri besar Johor itu berkata usaha mencari kebenaran dan keadilan dalam skandal 1MDB dilihat mendapat kerjasama yang baik daripada Najib.

"Sekiranya mereka mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, sudah pastilah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyatan media hari ini.

Menurut Mohamed Khalid, langkah itu bukan sekadar tindakan "yang betul" perlu diambil bekas perdana menteri atau anggota keluarganya malah akan memanfaatkan mereka.

"Ia bukan sahaja satu perkara yang betul untuk dilakukan, malah akan membantu membersihkan nama dan imej beliau serta keluarga yang kini tercemar dengan skandal berkenaan," katanya.

Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - ialah individu yang sedang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Masih berusia 30-an, Jho Low berasal dari Pulau Pinang namun mempunyai profil tinggi dan pernah dilihat bergambar bersama Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak mereka di satu lokasi yang tidak diketahui.

Bukan watak sampingan

1MDB ialah syarikat pelaburan kerajaan yang lahir daripada ilham Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, namun dibelenggu hutang yang besar. Ia turut menyumbang kepada kejatuhan BN daripada kuasa buat kali pertama sejak lebih 60 tahun.

Untuk rekod berbanding dua lagi naib presiden Umno, Mohamed Khaled dilihat lebih bersikap terbuka, berterus-terang dan agak lantang bersuara sebelum ini.

Seorang lagi bekas menteri yang mengambil pendekatan hampir sama dengan Mohamed Khaled ialah Datuk Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun Johari gagal mendapat sokongan mencukupi daripada bahagian-bahagian Umno di seluruh negara untuk menjadi naib presiden baru-baru ini.

Mohamed Khaled menambah pada masa sama kerajaan - yang yakin dan mendakwa mempunyai maklumat mengenai pembabitan Jho Low - perlu menggandakan usaha menangkap, membawa pulang, menyoal siasat serta mendakwanya.

Katanya isu 1MDB sudah terlalu kerap dilaporkan media sama ada di dalam atau luar negara dan belum menampakkan kesudahan.


Baca IGP: Elak polis di Hong Kong, Jho Low lari ke Macau


Bagaimanapun menurut Mohamed Khaled di sebalik segala laporan dan dakwaan itu Jho Low masih belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa Malaysia, apatah lagi dibicarakan di mana-mana mahkamah.

Justeru katanya pihak berkuasa Malaysia mesti bekerjasama rapat dengan mana-mana pihak berkuasa luar negara yang sedang menyiasat serta mencari penyelesaian kepada skandal 1MDB.

"Kerajaan Malaysia harus mempamerkan keseriusan yang lebih tegas bagi mendapatkan Jho Low dan mengheret beliau ke muka keadilan.

"Kerajaan tidak boleh sekali-kali melihat beliau sebagai sekadar watak sampingan yang boleh diketepikan.

"Sebarang pendekatan menunggu dan mengharapkan beliau tampil sendiri dan memberi penjelasan secara sukarela tidak akan berjaya dalam kes ini," katanya dan menambah, Umno sendiri mahu isu skandal 1MDB diselesaikan segera.

Lihat Komen
ADS