Wawancara Malaysiakini

Mustafa: Mustahil PAS boleh perintah negara jika bersendiri

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Pilihan PAS untuk bersendirian dan tidak menyertai mana-mana gabungan seperti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dilihat mustahil untuk membawa parti itu mentadbir kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sehingga kini beliau masih berpegang pada pendapat itu.

"Dalam hal ini mungkin saya berbeza pandangan dengan sesetengah pimpinan.

"Saya selalu sebut dalam konteks negara kita Malaysia yang terdiri daripada pelbagai parti dan kaum, rekod lampau menunjukkan tidak ada sebuah parti boleh menang dengan bersendirian.

"Kalau kita bercakap mengenai nak menang di Putrajaya, setakat track record yang ada tak mungkin boleh menang dengan bersendirian.

"Saya masih berpegang begitu. Tapi untuk menang di Kelantan dan Terengganu PAS mampu menang bersendirian, untuk menang memerintah Malaysia tak mampu," katanya pada sesi wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Kerjasama PAS, Umno

Ketika ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno hangat diperkatakan khususnya menjelasng pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong.

Dalam kedua-dua PRK itu, PAS dan Umno dilihat saling sepakat untuk memudahkan calon masing-masing untuk bertanding mengalahkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun, bagi Mustafa, keadaan di kedua-dua PRK itu hanya melibatkan kerjasama untuk PRK itu semata-mata dan tidak lebih daripada itu.

"Kalau ada pun kerjasama, ia hanya untuk pilihan raya itu sahaja. Tidak ada kerjasama yang lebih daripada itu.

"Pengarah PRK Seri Setia (PAS), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri mengatakan kita sedia menerima bantuan daripada mana-mana pihak yang mahu bantu kita," katanya.

Bekas setiausaha agung PAS itu juga berkata, dalam konteks politik Malaysia hari ini dan pada masa depan segala kemungkinan tidak mustahil berlaku.

Menurutnya, senario politik masa depan akan berubah lagi, strategi parti-parti politik belum pasti bagaimana coraknya.

"HARAPAN sendiri tidak begitu stabil, apa yang akan berlaku di masa akan datang di luar jangkaan.

"Tetapi yang pasti, yang akan memerintah Malaysia ini mesti satu gabungan, bukan satu parti.

"Gabungan itu mungkin parti yang ini pecah masuk gabungan itu, yang itu pecah masuk gabungan ini. Itu boleh berlaku di Malaysia," jelas Mustafa.

Dasar tak boleh ubah

Bagi PAS pula katanya, parti itu satu-satunya pihak yang pernah bekerjasama dengan semua parti kecuali parti yang baru diwujdukan.

"Jadi dengan pengalaman itu membantu kita untuk menilai parti-parti yang kita nak kerjasama.

"Itu kena lihat perkembangan-perkembangan seterusnya yang akan berlaku, kita tak boleh buat andaian sekarang. Apa-apa kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Tambah beliau, PAS daripada dulu hingga sekarang dipandu dengan dasarnya sekali gus berbeza dengan parti-parti lain.

"Ini perkara penting, berbeza dengan strategi yang boleh berubah. Jika strategi itu tidak menyebabkan dasar berubah tiada masalah, dasar tidak boleh berubah.

"PAS tunjangnya Islam, kalau sesuatu strategi dibuat akan menyebabkan prinsipnya terjejas itu tak boleh dibiarkan berlaku.

"Kalau dasar tidak terjejas, PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan parti mana-mana pun," katanya.