Bekas PM S'pura sedia tunggu 15 tahun untuk kembali ala Dr M
Bekas perdana menteri Singapura Goh Chok Tong berkata, tidak seperti Malaysia, Singapura tidak memerlukan mana-mana bekas perdana menteri untuk kembali menyelamatkan negara itu.
Menurut laporan The Straits Times, Goh berkata, walaupun sudah menjadi lumrah bagi bekas perdana menteri untuk bimbang dengan keadaan negara yang mereka pernah terajui, tiada keperluan baginya untuk kembali menjadi perdana menteri.
Goh yang merupakan perdana menteri SIngapura yang kedua dan kini memegang jawatan menteri kanan emiritus, merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu.
Beliau dilapor berkata, ramai pihak menggesa beliau melakukan hal serupa di Singapura dan menambah: "Malah mereka mencadangkan (bekas anggota parlimen PAP) Tan Cheng Bock menjadi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada saya."
"(Dr Mahathir) kembali menjadi perdana menteri pada umur 92. Saya hanya 77 tahun. Saya boleh tunggu 15 tahun," katanya dipetik sebagai berkata yang disambut ketawa hadirin majlis makan malam Perarakan Marin Hari Kebangsaan di Singapura semalam.
Goh merupakan anggota parti pemerintah, PAP. Beliau menggantikan Lee Kuan Yew sebagai perdana menteri pada 1990 dan berkhidmat sehingga 2014 sebelum digantikan oleh anak Lee, Hsien Loong.
"Sukar untuk lepaskan negara yang anda sudah tolong untuk bina.
"Jika pemimpin 5G tidak melakukan kerja yang baik, saya akan memerhati," katanya, merujuk pemimpin Singapura generasi seterusnya. Dalam ucapannya, Goh menyebut bahawa negara itu sedang beralih kepada kepimpinan generasi keempat (4G).
Goh turut berkata, berdasarkan piawai antarabangsa, Singapura mempunyai pencapaian yang baik dalam soal kesihatan, pendidikan, perumahan, kebajikan sosial, daya saing ekonomi dan pendapatan tahunan.
Beliau sebelum ini dilapor berkata bahawa Dr Mahathir mengingatkan beliau kepada Lee dan menyorot bahawa apa-apa yang terjadi di negara ini akan memberi kesan kepada Singapura dan sebaliknya.

