Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi berjaya menyelamatkan sekumpulan nelayan tempatan yang dirompak dan menjadi tawanan sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Teluk Pelam, Pulau Langgun, Langkawi, pagi ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata PPM menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira 8.33 pagi bahawa sekumpulan nelayan tempatan yang sedang memukat di kawasan itu ditawan sekumpulan lelaki bersenjata.

Bertindak atas maklumat itu, katanya PPM telah mengarahkan operasi menyelamat digerakkan yang diketuai Inspektor Adni Shaari, sebelum dua buah sampan ekor panjang milik perompak berkenaan ditemukan pada kira-kira 10.30 pagi.

“Sampan itu sedang membawa bot dan nelayan tempatan yang ditawan itu menuju ke perairan negara jiran dan apabila sedar ketibaan bot PPM, mereka memecut lari,” katanya.

Beliau berkata selepas mengejar hampir 20 minit, sampan perompak itu berjaya dipintas dan empat suspek berjaya ditahan.

Katanya hasil siasatan mendapati perompak itu memiliki tiga pucuk pistol, namun tiada tembakan dilepaskan dan kesemua suspek dibawa balik ke Pangkalan Bukit Malut untuk siasatan.

- Bernama