Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA: Menteri tak bertanggungjawab batalkan semua saman AES
Diterbitkan:  Aug 19, 2018 5:54 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon menyifatkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebagai tidak bertanggungjawab apabila membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Beliau berkata pesalah trafik seharusnya dikenakan tindakan undang-undang terhadap kesalahan mereka dan tindakan membatalkan saman AES seperti menggalakkan pengguna jalan raya melanggar undang-undang.

"Sayangnya, kerajaan Pakatan Harapan dan pihak penguatkuasaan tidak berdepan dengan masalah sebenar, atau menggunakan kaedah yang berkesan untuk mengurangkan kadar kemalangan. Sebaliknya, mereka telah menunjukkan sikap 'inklusif' terhadap pesalah trafik.

"Oleh sebab ini, Menteri Pengangkutan harus memohon maaf kerana membuat keputusan yang bodoh dan salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Loke mengumumkan semua 3.1 juta saman AES yang belum dibayar akan dibatalkan berjumlah RM435 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata penguatkuasaan yang ketat akan bermula 1 Sept depan dan tiada bayaran balik akan dibuat terhadap 18 peratus saman yang telah dikeluarkan kepada pesalah trafik sejak sistem itu diperkenalkan pada tahun 2012

Leong berkata langkah kerajaan jelas bersifat populis dan tidak dibuat secara terperinci, selain hanya bertujuan untuk memenangi hati orang ramai serta menambahkan kadar kemalangan.

"Jika undang-undang digubal tidak dilaksanakan untuk menghukum pesalah, maka apa perlunya undang-undang?

"Memandu laju bukan sahaja membahayakan keselamatan seseorang tetapi juga membahayakan nyawa orang lain. Memandangkan sesetengah pemandu memandu secara melulu dan bahaya, pengumuman Loke akan membawa kepada kadar kemalangan yang lebih tinggi di Malaysia.

"Oleh itu, menguatkuasakan had laju atau saman merupakan langkah pencegahan. Apa tujuan Antony Loke membatalkan semua saman berkenaan?"soalnya.

Lihat Komen
ADS