Paling Popular
Terkini

Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) mencapai 100 hari penubuhannya esok (Isnin) dan persoalan sama ada majlis itu akan dibubarkan, banyak bertumpu kepada tujuan asal penubuhannya.

Ditubuhkan pada 12 Mei oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, majlis itu bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan ekonomi, kewangan dan lain-lain sepanjang tempoh peralihan kuasa dan 'jangka hayatnya dilaporkan secara meluas hanya selama 100 hari'.

Bagaimanapun, minggu lepas perdana menteri berkata kerajaan akan terus mengekalkan CEP dan tidak akan dibubarkan lagi memandangkan perkhidmatan mereka, terutama rakan lama yang dipercayainya, masih diperlukan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai serta ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Tanpa menghiraukan isu mengenai tempoh operasinya, CEP akan mengadakan persidangan akhbar esok, diketuai bekas menteri kewangan sebanyak dua kali, Tun Daim Zainuddin, yang percaya semuanya mesti dilakukan tepat pada waktunya.

Daim, 80, mempengerusikan 261 sesi, antara lain bersama bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd, Pengerusi Telekom Malaysia Bhd Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga HAsil Dalam Negeri Datuk Seri Sabin Samitah.

Selain itu pertemuan turut diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Wan Ahmad Wan Yusoff dan Pengarah Bahagian BRIM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Badri Basiran,

Daim dijangka membentangkan laporan keseluruhan mengenai tugas besar yang dilakukan CEP sepanjang 100 hari, serta dapatan dan cadangannya kepada kerajaan, dibantu oleh bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican, hartawan perniagaan Robert Kuok dan ahli ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

CEP mengadakan mesyuarat terakhir 100 hari penubuhan asalnya, Jumaat lepas.

Daim sebelum ini memberitahu Bernama bahawa keseluruhan idea CEP "adalah untuk memastikan keadilan bagi semua pihak".

"Kami akan mendukung perlembagaan," katanya.

Majlis itu mengadakan mesyuarat pertama sebaik sahaja pengumuman pembentukannya, dan menurut Daim: "Saya mahu ini selesai dalam tempoh 100 hari. Selepas itu saya mahu tidur ".

CEP telah mengadakan pelbagai mesyuarat dan taklimat harian, mengkaji pelbagai isu terutama mengenai hutang negara, ringgit, subsidi bahan api, bayaran tol dan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) - menetapkan perubahan asas, termasuk melaksanakan reformasi institusi.

"Ini adalah perkara utama. Kami membuat cadangan kepada kerajaan. Pada akhirnya, mereka (kerajaan) akan membuat keputusan," katanya.

Daim berkata walaupun sudah berumur, anggota majlis komited dan melakukannya sebagai perkhidmatan untuk negara secara sukarela dan disokong oleh sekretariat muda, sangat rajin dan efisien", diketuai ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid dan pasukannya.

CEP juga memain peranan penting dalam mengembalikan keyakinan para pelabur terutama selepas minggu yang tegang susulan pembentukan kerajaan baharu di Putrajaya, dan satu siri pembatalan projek utama.

Daim menjelaskan bahawa membatalkan projek-projek mega tidak bermakna negara sedang mengalihkan tumpuan ekonomi, namun sebaliknya hanya didorong oleh hakikat bahawa beberapa projek berkenaan tidak masuk akal.

Oleh itu, kerajaan hanya bertanggungjawab secara fiskal dalam perbelanjaan untuk menguruskan kedudukan hutang fiskal, katanya.

"Tidak ada sebab untuk meletakkan ekonomi dalam keadaan yang lebih buruk (daripada sebelumnya)," kata konglomerat yang diketahui membuat kawalan ketat terhadap kewangan semasa perkhidmatannya.

CEP juga mempunyai dua jawatankuasa di bawah bidang kuasanya, iaitu Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan jawatankuasa yang mengkaji skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), yang ditubuhkan untuk membuat cadangan kepada kerajaan mengenai beberapa institusi utama negara, telah mengemukakan laporan akhirnya kepada CEP dan Jabatan Perdana Menteri pada Julai.

Majlis itu dikritik hebat baru-baru ini apabila Daim dilaporkan melawat China bagi merundingkan semula pinjaman dan kontrak yang dimeterai Putrajaya dengan syarikat China, yang mendorong beberapa pihak kerajaan dan pembangkang mempersoalkan peranan CEP, yang mengingatkannya bahawa majlis itu mungkin sudah bertindak melepasi peranannya sebagai penasihat.

Antara mereka ialah Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang meminta kerajaan membubarkan CEP dengan segera kerana ia dilihat bertindak bukan hanya sebagai penasihat, malah telah campur tangan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata peranan CEP hanya dalam kapasiti penasihat dan ia tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Kerajaan tidak terikat dengan pandangan atau keputusan yang dibuat oleh CEP, katanya pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dipetik sebagai berkata bahawa keputusan untuk mengekalkan fungsi CEP bukan merupakan petunjuk bahawa para menteri tidak berkesan dalam menjalankan tugas mereka, sebaliknya ada keperluan untuk mengekalkan perkhidmatan badan penasihat itu pada masa ini.

Kecuali Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebanyakan anggota kabinet tidak mempunyai pengalaman luas di peringkat Persekutuan, walaupun sesetengahnya merupakan ahli politik berpengalaman.

Sama ada tempoh CEP akan dilanjutkan, perlu menunggu sekurang-kurangnya selepas Dr Mahathir pulang pada Selasa daripada lawatan rasmi lima hari ke China.

Sementara itu, dua anggota CEP telah diberikan tugas lain.

Zeti dilantik untuk mengawasi Permodalan Nasional Bhd manakala Hassan kini menjadi pengarah di Khazanah Nasional Bhd susulan rombakan lembaga pengarah dana pelaburan strategik keerajaan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS