PAS tawar RM15,000 untuk maklumat pengundi hantu
PAS menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 kepada mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat sahih berkaitan pengundi hantu, rasuah dan politik wang dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
PAS menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 kepada mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat sahih berkaitan pengundi hantu, rasuah dan politik wang dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar berkata, sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi bilik gerakan PAS di talian 09-7981562 atau 09-7964714.
Katanya, PAS juga telah meminta kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menyiasat isu pengundi yang tidak layak mengundi atau `pengundi hantu' dan politik wang yang mungkin berlaku dalam pilihanraya kecil itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, isu pengundi hantu dan amalan politik wang semasa pilihanraya perlu dibanteras kerana menyalahi prinsip demokrasi dan tidak menghormati undang-undang negara ini.
"Berdasarkan pilihanraya umum lalu, PAS mendapati terdapat kecenderungan membawa masuk pengundi-pengundi luar yang tidak layak mengundi dengan berbagai-bagai cara untuk mengundi di DUN Pengkalan Pasir.
"PAS juga mengesan pemberian wang berunsur rasuah bagi mendapatkan undi yang dilakukan pihak-pihak tertentu dan perkara ini berlaku secara berleluasa," katanya.

