Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dia akan pulang’
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 9:06 AM
Dikemaskini: 1:46 AM

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sudah membuat keputusan untuk kembali ke tanah air walaupun tindakan itu bertentangan dengan nasihat pakar yang merawatnya di Hospital Clementine Chirchill, London.

“Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Inilah perumpamaan tentang kepulangan Tan Sri Musa Aman ke tanah air setelah menerima rawatan di hospital di London,” kata bekas setiausaha politiknya, Mohd Joh Wid.

Melalui satu hantaran di Facebook, Mohd Joh berkata, sebelum pulang Musa perlu dirujuk ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menerima rawatan susulan.

“Dia perlu dirujuk ke hospital di Singapura yang memegang rekod perubatannya sejak 30 tahun lalu untuk rawatan susulan.

“D hospital ini baru saya mengetahui bahawa beliau pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung dan perlu terus melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaannya stabil.

“Perkara ini saya nyatakan untuk menjelaskan bahawa beliau bukan melarikan diri, beliau sebenarnya memerlukan rawatan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa Musa yang bersembunyi atas alasan mendapatkan rawatan kesihatan di London akan dibawa balik ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Joh berkata, Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga tidak pernah mendedahkan kepada pegawainya bahawa beliau sakit ketika menjadi ketua menteri.

“Beliau tidak mahu memperlihatkan pemimpin sebagai orang yang lemah. Mungkin jika ini didedahkan akan menjejaskan keyakinan rakyat, parti pimpinannya malah mungkin pelabur.

“Justeru, setelah isu pelantikan ketua menteri lalu, beliau berasakan inilah masa sesuai untuknya berehat dan menerima rawatan terbaik untuk kesihatannya.

“Kini tiba masanya beliau akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ADUN tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS