Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir teringin nak gari Jho Low
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 1:54 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad memang dikenali menjadi salah seorang pemimpin politik yang sangat lantang bercakap mengenai ahli perniagaan kontroversi dan kenalan Datuk Seri Najib Razak, Jho Low.

Semasa mengadakan sidang media di Beijing, China hari ini perdana menteri sekali lagi ditanya mengenai Jho Low.

Asalnya Dr Mahathir bercakap mengenai kelicikan ahli perniagaan muda kelahiran Pulau Pinang itu dan dipercayai memiliki banyak pasport bagi memudahkannya menyelinap daripada pihak berkuasa apabila perlu.

"Apa yang anda lakukan jika Jho Low ada di sini, duduk di sebelah anda sekarang?" tanya salah seorang wartawan.

Dr Mahathir yang terkenal dengan sikap spontan, sinis dan bersahaja memberikan jawatan ringkas namun tegas.

"Saya akan gari dia," katanya.

Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - didakwa menyelewengkan dana daripada syarikat pelaburan milik penuh kerajaan, 1MDB, semasa Najib menjadi perdana menteri.

Najib sendiri menafikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku dalam pengurusan 1MDB.

Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak mereka pernah bergambar bersama Jho Low dipercayai dalam sebuah kapal persiaran di lokasi yang tidak diketahui.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1MDB serta tuduhan yang dikaitkan dengan Najib.

Ahli perniagaan berprofil tinggi itu dipercayai pernah bersembunyi di China atau wilayah berhampirannya.

Pada 19 Ogos lalu Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Najib - atau anggota keluarganya - bertanggungjawab berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa mengenai kedudukan Jho Low.

Kata bekas menteri besar Johor itu langkah tersebut bukan saja tindakan yang betul patut diambil Najib malah ia juga akan membantu membersihkan nama mereka daripada pelbagai tuduhan.

"Sekiranya mereka mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, sudah pastilah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa tempatan," katanya dalam satu kenyatan media.

Dr Mahathir bersama beberapa menteri mengadakan lawatan rasmi ke China sejak lima hari lalu dan akan pulang hari ini.

Lihat Komen
ADS