Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) agak aneh dan ganjil.

Ia berniat menghasut dan berbau iri hati atas kebijaksanaan Tun Mahathir melantik lima orang yang sangat berpengalaman dan terkenal untuk menasihati Pakatan Harapan (HARAPAN) yang pertama kali menerajui kerajaan.

HARAPAN sebagai kerajaan baru sedar perlunya kebijaksanaan dan pengalaman mereka diperlukan untuk mengemudi Malaysia selepas kira-kira 60 tahun hanyut dan sesat di bawah BN.

Siapa tidak kenal Robert Kuok, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Aziz, Tan Sri Hasan Marican dan Prof KS Jomo yang sangat berpengalaman dan disegani dalam bidang masing-masing.

Bagaimanapun mereka hanyalah penasihat dan tiada kuasa eksekutif. Mereka tidak mengambil alih kuasa kabinet.

Ini jauh berbeza dengan ahli perniagaan Low Taek Jho yang hanya berusia awal 30-an dan tiada rekod kejayaan, dan hanya terkenal selepas skandal 1MDB.

Perlu diingat Jho Low berganding rapat dengan Riza Aziz. Pengaruh dan 'kuasa' Jho Low amat luar biasa dan jauh mengatasi peranan CEP.

Kerosakan 1MDB ke atas ekonomi Malaysia tersebar dan mengegar seluruh dunia. CEP yang diwujudkan sebagai badan penasihat cuba untuk memulihkan kerosakan terhadap ekonomi ini.

Beberapa pemimpin kanan Umno telah meminta Najib menjauhkan diri daripada parti itu. Beliau telah menjadi liabiliti besar kepada Umno dan juga BN.

Lagi banyak Najib bercakap tentang CEP lagi terlihat kecelaruan pemikirannya.

Kerajaan HARAPAN jauh berbeza kerana tiada parti yang dominan seperti Umno dalam BN. Kami amalkan keputusan melalui kata sepakat dan kalau pandangan CEP tidak dipersetujui, ia boleh diperbetulkan secara demokratik.

Barangkali susah untuk Najib memahami konsep kerajaan telus melalui konsensus kerana beliau dibesarkan dengan nilai feudal dan budaya autocratik Umno BN.

Itulah punca berlakunya tragedi 1MDB bawah pentadbirannya. Orang muda seperti Jho Low dibenarkan menjadi begitu berpengaruh.

Jho Low mungkin telah menjadi jauh lebih berpengaruh dalam pentadbiran Najib berbanding kelima-lima ahli CEP ini dalam kerajaan sekarang.

Pembentukan CEP bukanlah pilihan tetapi keperluan untuk membaiki kerosakan ekonomi selepas Najib menerajui negara - satu sejarah hitam kleptokrasi yang mencemarkan Malaysia di mata dunia.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah Senator Dewan Negara, Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dan bekas anggota parlimen Kuala Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS