Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SERI SETIA | Sebagai anak kepada peniaga kecil, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk PRK Seri Setia Halimey Abu Bakar tidak asing dengan cabaran yang dihadapi satu segmen pengundi di kawasan DUN Selangor itu.

Lelaki berusia 48 tahun itu memaklumkan dia bukan saja membesar di Kampung Lindungan - satu daripada 24 daerah mengundi bawah Seri Setia - malah arwah bapanya juga adalah pengerusi pertama Persatuan Peniaga Kecil Petaling Jaya.

"Hidup sebagai anak peniaga kecil yang terpaksa bergelumang dengan kesusahan dan kepayahan, banyak menginsafkan saya tentang perjuangan mereka.

"Melihat kehidupan yang serba kekurangan terutama kedai yang daif, membangkitkan semangat dalam diri untuk membela mereka," katanya dalam sidang media harian di pusat operasi utama HARAPAN di Kampung Lindungan, hari ini.

Sebelum dipilih sebagai calon, Halimey berkata dia telah memperjuangkan isu peniaga kecil atas kapasiti sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2008.

"Keutamaan saya sebagai ahli majlis adalah untuk menaikkan taraf hidup peniaga kecil.

"Antaranya membina kiosk untuk memberi mereka peluang berniaga dan kini saya sedang merancang membina lebih banyak gerai supaya mereka dapat berniaga dalam suasana lebih kondusif dan tersusun," katanya.

Turut serta dalam sidang media itu adalah bekas ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari.

Jika terpilih sebagai ADUN Seri Setia, katanya lagi, beliau berkata akan terus memperbanyak pembinaan kiosk tersebut, serta memperkenalkan penggunaan teknologi kepada peniaga kecil terutama tentang perniagaan dan pemasaran atas talian.

"Walaupun saya tiada 'tangan emas' untuk menjadikan golongan peniaga sebagai usahawan berjaya dalam masa singkat, saya percaya usaha dan doa akan menjadikannya satu kenyataan.

"Insya-Allah anak-anak mereka dapat menjadi pewaris kepada perniagaan mereka," katanya lagi.

Bagi golongan muda pula, beliau berkata merancang untuk menganjurkan kursus keusahawanan.

Selepas sidang media, Halimey meneruskan kempennya dengan melawat sebuah gerai ceondol yang baru berpindah ke tapak kekal di PJS8.

Terdapat 52,650 pengundi berdaftar di DUN itu. PRK Seri Setia akan diadakan pada 8 September ini berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU ke-14, Shaharuddin menang dengan majoriti 19,372 undi menewaskan Yusoff M Haniff (BN), Mohd Ghazali Daud (PAS) dan S Vigneswaran (Bebas).

Halimey bakal berdepan calon PAS Dr Halimah Ali yang merupakan bekas ADUN Selat Kelang dan exco kerajaan Selangor.

Lihat Komen
ADS