Berita Malaysiakini

3 bulan tiada rumah, mana janji Azizah, ADUN?

Faisal Asyraf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pada 30 Mei lalu rumah mereka hangus terbakar. Hari ini, tiga bulan kemudian, tiga keluarga di Pandan Jaya, Kuala Lumpur masih tidur di dewan orang ramai.

Hidup susah itu masih mereka tempuh walaupun dijanjikan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Pudu.

Seorang mangsa, G Chandran berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah Izham Hashim telah melawat mereka pada hari kebakaran.

“Kami dijanjikan akan diberikan sebuah unit PPR tetapi hingga hari ini tiada khabar berita,” katanya.

Chandran, katanya, telah menugaskan seorang penduduk setempat sebagai orang tengah antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan mangsa.

“Tiap kali kami hubungi dia, dia kata masih dalam proses,” kata Chandran.

Presiden Pusat Aduan Rakyat Malaysia A Chandrakumanan, yang melawat mangsa hari ini menggesa kerajaan menunaikan janji.

“Keadaan di sini tak begitu baik. Banyak sampah di sini. Ia akan bawa penyakit.
“Kita tengok ada anak-anak juga. Kita memohon kepada kerajaan supaya ambil satu tindakan supaya penduduk-penduduk dapat rumah seperti yang dijanjikan,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Izham.

[Baca berita asal]