Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH lapor polis tuduhan lantik individu Syiah

Pemuda AMANAH Melaka hari ini membuat laporan polis berhubung tuduhan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) bahawa kerajaan negeri melantik individu berfahaman Syiah dalam Majlis Fatwa Negeri Melaka.

Naib Ketuanya Fakhrul Razi Hamdan berkata pihaknya khuatir isu tersebut akan dijadikan modal pihak tidak bertanggungjawab bagi menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri itu.

"Hak kebebasan bersuara yang diberi kerajaan bukanlah medium untuk menyebarkan fitnah yang secara tidak langsung turut menjejaskan institusi agama.

"Justeru, kami mendesak pihak terlibat segera membuat permohonan maaf secara terbuka bagi menjamin keamanan negeri ini kerana maklumat berkaitan perkara terbabit telah tular," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Hilir di Melaka.

Sabtu lepas, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan seorang pemimpin NGO mendakwa kerajaan negeri membawa masuk seorang pengikut fahaman Syiah dalam Majlis Fatwa Negeri Melaka ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 peserta Himpunan Gerakan Ummah.

Semalam, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada lantikan baharu Jawatankuasa Majlis Fatwa sejak kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pentadbiran negeri Melaka.

Beliau juga dilaporkan berkata berkata barisan jawatankuasa sedia ada yang dilantik pada 1 Januari lepas masih kekal sehingga 31 Disember depan.

Mengulas lanjut, Fakhrul Razi berkata pihaknya akan memantau penularan fitnah tersebut menerusi media sosial dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mereka yang terus menyebarkannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS