Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK SERI SETIA | Seorang anggota Umno selama lebih 30 tahun, Ismail Ah, 63 tahun tidak mempunyai sebarang kebimbangan apabila diarahkan oleh ketua bahagian kawasan setempat untuk membantu calon PAS Dr Halimah Mohd Ali dalam kempen pilihan raya kecil ini.

Pemimpin cawangan Umno berusia 63 tahun itu memberitahu Malaysiakini bahawa ini kerana tiada permusuhan antara penyokong kedua-dua pihak.

"Bagi saya politik ni, ini perkara biasa. Kami disini dengan orang PAS tak ada masalah. Umno dengan PAS tak ada masalah.

"Kami memang cantik lah. Kami berkawan, kami bertekak, nanti besok okay. Tak ada kami berdendam antara orang Umno PAS," kata Ismail ketika ditanya janji Umno membantu PAS untuk kerusi DUN Selangor itu.

Ismail menganggarkan terdapat kira-kira 1,200 anggota Umno yang berdaftar sebagai pengundi di Seri Setia dan beliau berkata dijangkakan lebih ramai jentera parti dan penyokong turun menolong PAS.

"Kami diarahkan oleh ketua bahagian, ini masa untuk kita bersatu Umno dengan PAS, jadi bila berlaku PRK ni, masa untuk kita bantu.

Ikut arahan bos

"Terima arahan dari orang atas untuk kita bantu PAS, jadi kita bantu. Ikut arahan bos," kata Ismail yang ikut serta Halimah dan pasukannya berkempen di beberapa buah rumah di rumah pangsa Seri Meranti yang teletak di daerah mengundi Ara Damansara.

Kawasan ini menempatkan majoriti pengundi Cina dan merupakan pusat daerah mengundi (PDM) yang paling besar antara 24 PDM di Seri Setia dengan pengundi berdaftar seramai 4,786 orang.

Halimah yang juga seorang doktor memiliki sebuah klinik swasta di Klang turut menawarkan khidmat nasihat kesihatan dalam kempennya.

Ketika beliau keluar daripada salah sebuah rumah di tingkat tiga flat itu, seorang wanita pertengahan umur menegur Halimah di kaki lima.

Ketika ditemui Malaysiakini, wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Rosnaini Alias, 60 tahun, seorang pemimpin Umno cawangan.

"Sekarang ni confirm (sokongan)," katanya kepada Halimah.

Termostat suhu sokongan HARAPAN

Kemudiannya, bekas ADUN Selat Klang itu memberitahu wartawan bahawa PAS mensasarkan fokus kempen mereka kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan tersebut dan turut berusaha untuk menarik keluar 37 peratus pengundi di bawah umur 40 tahun.

Beliau percaya PRK ini merupakan "termostat" yang akan mengukur suhu sokongan HARAPAN.

"Ini termostat buat kerajaan HARAPAN.

"Adakah rakyat menerima mereka.

"Ataupun pengundi dah letih asyik-asyik pilihanraya kecil?" Soal beliau.

Halimah kemudiannya bertemu peniaga dan pengunjung pasar malam berhampiran flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

Siapapun dipilih harap dapat bantu

Seorang penjual goreng pisang, Rafeah Ramli, 60 tahun, mengeluh mengenai nasib penduduk PPR Lembah Subang yang terabai.

"Saya harap siapapun yang dipilih akan dapat membantu kami, khususnya golongan berpendapatan rendah," katanya sambil menjelaskan mengenai pengurusan kemudahan yang lemah di kawasan itu.

Suri rumah dan penyokong PAS, Rafidah Said, 38 tahun, pula berharap masalah yang disebut Rafeah akan ditangani ADUN baru yang bakal dipilih nanti.

Bagaimanapun, beliau masih kurang yakin dengan kerjasama baru antara Umno dan PAS.

"Umno macam hanya hendak gunakan PAS untuk meraih sokongan," katanya.

Kenyataan yang dibuat pimpinan Umno dan PAS baru-baru ini dilihat menunjukkan rasa yakin bahawa kerjasama mereka dapat mempengaruhi sebahagian daripada 55 peratus penduduk Melayu di Seri Setia.

Tetapi sama ada gabungan mereka berjaya atau gagal mengimbangi majoriti 19,372 undi PKR dalam PRU14 ia masih perlu diperhatikan.

Dalam pilihan raya 9 Mei lalu, Umno dan PAS memperoleh 14,441 undi berbanding 29,250 PKR daripada sejumlah 52,650 undi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS