Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga emas tak sempat beraya, rumah rentung disambar api

Sepasang warga emas tidak sempat meraikan sambutan Aidiladha hari ini selepas rumah mereka di Tanjung Api di Kuantan, musnah dalam kebakaran pada pukul 5 pagi ini.

Pasangan itu Zainun Abdul Rahman dan Jusoh Mohammad, kedua-duanya berusia 60 tahun, juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting kerana api marak dengan cepat.

Menantu pasangan itu, Hairullah Razali, 28, berkata kejadian berlaku kira-kira 5 pagi semasa Zainun sedang menggoreng ayam untuk dijadikan juadah hari raya.

"Tiba-tiba letupan berlaku diikuti api. Saya segera mengejutkan anggota keluarga yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri... semua pakaian dan juadah raya musnah.

"Sedih juga mengenangkan nasib keluarga mentua yang tinggal sehelai sepinggang di pagi raya," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul berkata tiga jentera dengan 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 pagi.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian dan punca kebakaran sedang disiasat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS