MCA: Kenapa DAP takut perkataan semak dan imbang?
PRK BALAKONG | Sebagai menjawab kritikan bahawa MCA tidak mampu melaksanakan semak dan imbang kepada kerajaan, naib presidennya, Chew Mei Fun mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan (HARAPAN) - terutamanya DAP - kini "takut" untuk bertanggungjawab.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang awal hari ini berkata MCA tidak layak menjadi pembangkang yang berkredibel kerana sebelum ini menyokong bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Justeru, Lim menyifatkan MCA sebagai "bersubahat" dalam skandal 1MDB.
Meskipun tidak merujuk kenyataan Lim ke atas Najib atau 1MDB, Chew menegaskan pendirian MCA bahawa HARAPAN perlu bertanggungjawab.
"HARAPAN kini adalah kerajaan negeri dan persekutuan di Selangor, (mereka perlu disemak) bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kepentingan rakyat.
"Maka, sudah semestinya MCA akan mengambil pendekatan semak dan imbang sebagai tema utama dalam kempen (PRK Balakong).
"Saya tak faham kenapa Lim dan pemimpin DAP lain takut apabila mereka dengar perkataan 'semak dan imbang'. Sudahkah Lim lupa DAP sebelum ini menyarankan agar melaksanakan sistem semak dan imbang?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu, Chew turut mempersoalkan sama ada Lim berniat "membasuh minda" pengundi untuk menganggap kerajaan HARAPAN boleh bertindak tanpa diteliti oleh parti pembangkang.
Tambah Chew, sikap DAP yang mengkritik orang tapi enggan menerima kritikan menunjukkan parti itu telah menjadi "tidak demokratik dan sombong".
[Baca berita penuh]

