Pengundi di Kelantan boleh menolak PAS pada pilihanraya umum akan datang jika ia gagal membina jejambat merentasi landasan kereta api di Pasir Mas seperti yang dijanjikan, kata Naib Presiden PAS, Husam Musa yang juga anggota exco kerajaan negeri hari ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pasir Mas, Husam menafikan dakwaan bahawa papan tanda membina jejambat merentasi landasan kereta api yang baru dinaikkan di Pasir Mas itu adalah gimik politik kerajaan negeri untuk menarik sokongan 18,411 pengundi sempena pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir.

Beliau berkata, projek pembinaan jejambat itu diluluskan dalam mesyuarat exco negeri sebelum kematian wakil rakyat PAS di kawasan itu, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu.

Menurut laporan Bernama, katanya, jejambat itu akan mula dibina Jun tahun depan selepas proses pengambilalihan tanah selesai.