Mogok lapar: PM kata tidak terima surat rayuan Bala
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak menerima sebarang surat mengenai seorang bekas pemimpin cawangan MIC yang dikenakan tahanan terhad di Jeli, telah mogok lapar sejak semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak menerima sebarang surat mengenai seorang bekas pemimpin cawangan MIC yang dikenakan tahanan terhad di Jeli, telah mogok lapar sejak semalam.
Katanya, beliau tidak menerima surat berkenaan dan tidak tahu sama ada ia dihantar ke pejabatnya di Putrajaya.
"Mungkin dihantar ke pejabat saya, tetapi saya tidak tahu," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan Penerbangan Malaysia (MAS) di Kelana Jaya pagi tadi.
Balakrishnan Appala Naidu, bekas pemimpin sebuah cawangan MIC mogok lapar kerana membantah dikenakan perintah kediaman terhad di bawah Ordinan Darurat.
Beliau mendakwa, penahanannya itu tidak adil dan mahukan beliau dibicarakan di mahkamah terbuka.
Bagaimanapun, saudara lelakinya Thirumoorthy berkata beliau menyerahkan sendiri surat tersebut kepada Abdullah pagi semalam ketika perdana menteri selesai menghadiri mesyuarat Umno Tanah Merah pagi semalam.
'Saya serah sendiri'
Perdana Menteri berada di Kelantan untuk menghadiri kempen membantu calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat yang bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.
Kata Thirumoorthy, beliau bukan sahaja bercakap dengan Abdullah mengenai mogok lapar saudaranya itu tetapi turut menyerahkan surat tersebut kepada perdana menteri.
"Saya bercakap dengannya selepas beliau keluar dari mesyuarat Umno Bahagian Tanah Merah semalam. Kemudian saya beri surat supaya menimbang rayuan kami dan Abdullah menjawab ok, tidak ada masalah," kata Thirumoorthy ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, beliau juga telah menyerahkan salinan surat tersebut kepada seorang pegawai Abdullah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Balakrishnan adalah ketua cawangan MIC Sungai Dua Tambahan, Rawang, selama 11 tahun. Beliau mendakwa pada awal 2004, musuh politiknya menuduh beliau melakukan kesalahan serius.
.
Ini adalah kali kedua beliau mogok lapar, kali pertama selama 16 hari dan dimasukkan ke dalam wad selama beberapa minggu..
Awal tahun ini Mahkamah Tinggi Johor Bharu mengatakan penahanan Balakrishnan tidak sah dan mengarahkan dibebaskan, bagaimanapun beliau ditahan semula dengan tuduhan yang sama.

