Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan campur tangan kehakiman: Anak Karpal Singh buat laporan polis

Sangeet Kaur Deo, anak mendiang Karpal Singh hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan dijalankan terhadap dakwaan terdapat campur tangan oleh hakim kanan mengenai keputusan rayuan kes hasutan bekas pemimpin kanan DAP, itu pada tahun 2016.

Sangeet membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Ia susulan laporan media semalam yang memetik peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai berkata, hakim yang tidak disebut namanya itu, campur tangan dalam permohonan rayuan Karpal Singh yang dalam keputusan majoriti kononnya mendapati beliau tidak bersalah dan kemudian membebaskannya.

Mohamed Haniff membuat dakwaan itu dalam satu hantaran di Facebook, dengan berkata bahawa mereka kemudian diminta untuk membatalkan keputusan berkenaan.

"Ini adalah tuduhan yang sangat serius dan mesti disiasat. Sekiranya perlu RCI juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat gangguan yang didakwa di dalam badan kehakiman," kata Sangeet kepada Malaysiakini.

Pada 21 Feb 2014, Karpal didapati bersalah atas hasutan kerana mempersoalkan penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak oleh Sultan Perak.

Beliau didakwa kerana pada 6 Februari 2009 berkata bahawa penyingkiran Nizar sebagai menteri besar oleh sultan boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pada 30 Mei 2016, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah ke atasnya berhubung komennya semasa krisis perlembagaan Perak.

Walau bagaimanapun, panel tiga hakim itu tidak mencapai keputusan sebulat suara, dengan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat tidak bersetuju dengan penghakiman berkenaan. Dua hakim lain itu adalah Datuk Wira Mohtaruddin Baki dan Datuk Kamardin Hashim.

Karpal meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April 2014.

Lihat Komen
ADS