Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Proton yakin kekalkan prestasi jualan lepas SST

Proton Edar Sdn Bhd, cabang pengedaran pengeluar automotif tempatan, Proton Holdings Bhd, yakin dapat mengekalkan prestasi jualan kukuhnya selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Rashid Musa berkata permintaan dijangka berterusan walaupun selepas SST dikuatkuasakan kerana kereta kini telah dianggap sebagai satu keperluan.

"Keperluan bagi kereta di Malaysia masih ada dan orang akan terus membelinya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat Proton 3S, di Petaling Jaya, hari ini, oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata harga kereta akan meningkat selepas SST kerana cukai perkhidmatan itu ditetapkan pada 10 peratus berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan pada enam peratus.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kuantiti jualan dan menarik pelanggan membeli kereta,” katanya.

Sementara itu, Li berkata Proton akan mula menerima tempahan bagi kenderaan utiliti sukan pertamanya bermula bulan depan.

Mengenai jualan pada Julai, Abdul Rashid berkata Proton menjual sebanyak 8,102 unit, prestasi terbaiknya dalam tempoh 30 bulan.

Beliau berkata selain daripada GST berkadar sifar yang menyumbang kepada kenaikan jualan itu, pasaran juga menerima dengan positif jenama Proton menerusi usaha meningkatkan kedudukannya dalam pasaran.

"Kami telah melakukan banyak perkara untuk menambah baik vendor dan pengedar kami,” katanya, sambil menambah Proton juga menaik taraf 96 daripada 109 pusat pengedarannya menjadi pusat 3s dan 4s.

- Bernama

Lihat Komen
ADS