Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perhilitan K'tan yakin renjer yang hilang masih hidup
Diterbitkan:  Aug 23, 2018 4:40 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan yakin seorang anggota renjernya yang dilaporkan sesat ketika mengumpul data program 1st National Tiger Survey di hutan Taman Negara, Jerantut 11 Ogos lepas, masih hidup.

Pengarahnya Mohd Hasdi Husin berkata operasi mengesan renjer berkenaan, Tarmizi Ahmad Japli, 30, akan dipergiatkan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk anggota Perhilitan Kelantan yang dihantar ke sana.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini membabitkan pegawai dan anggota bomba, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota PERHILITAN dari negeri ini dan Pahang.

"Sehingga semalam, walaupun pasukan SAR masih gagal mengesan Tarmizi di semua lorong, sungai, atas dan bawah pohon, juga dalam gua tempat beliau dikhuatiri hilang namun kami yakin beliau masih hidup,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Tarmizi dilaporkan masuk ke hutan Taman Negara pada 9 Jun lepas bersama-sama enam lagi renjer melalui Felda Kechau 11 Kuala Lipis, dilaporkan hilang semasa melalui jalan sungai untuk memasang kamera.

Rakan mangsa menyedari kehilangannya selepas tidak melihat mangsa yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak berada di belakangnya semasa mereka dalam perjalanan pulang ke kem.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS