Zamihan nafi 'penamatan kontrak' panel pemulih militan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan Pegawai Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) Zamihan Mat Zin dihentikan tugas sebagai panel pemulih militan.
Mengulas perkara itu, Zamihan bagaimanapun menafikan ia sebagai "penamatan kontrak".
Dalam laporan Free Malaysia Today hari ini, Zamihan dipetik sebagai berkata bahawa, tugasnya sebagai panel pemulih militan itu ialah lantikan, bukannya berstatus kontrak.
Jelas Zamihan, tarikh lantikan itu sehingga Jun 2019.
"Jawatan saya sebagai pegawai radikalisasi di KDN adalah lantikan selama 2 tahun sekali dan ia dibuat (Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) sendiri, sejak dilantik pada Jun 2017, tarikhnya masih ‘valid’ iaitu hingga Jun 2019.
“Seramai 46 individu yang dilantik dalam pelbagai bidang dan saya sebagai ketua, boleh kata begitu. Apabila kerajaan baru berkuasa, tidak ada kuasa membatalkan panel yang dilantik.
“Program masih berjalan seperti biasa, cuma tidak serancak dahulu. Kalau diwar-warkan saya ditamatkan kontrak, itu bukan, tetapi ia adalah lantikan," katanya dipetik sebagai berkata.
Dalam laporan itu, Zamihan juga menjelaskan bahawa selepas pertukaran kerajaan yang menyaksikan Datuk Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau dipindahkan daripada KDN ke Jakim dalam masa 24 jam.
Zamihan yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) beberapa kali mengundang kontroversi termasuklah dalam isu dobi eksklusif muslim di Muar, Johor.
Zamihan direman 3 hari di bawah Akta Hasutan, pada 11 Oktober lalu kerana mempertikaikan pandangan Sultan Johor mengenai isu berkenaan.
Pada 16 Oktober 2017, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menarik tauliah Zamihan untuk mengajar agama susulan tindakannya mempersoalkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

