Berita Malaysiakini

Penduduk PPR yakin kerjasama Umno-PAS beri saingan pada HARAPAN

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SERI SETIA | Calon PAS Dr Halimah Ali menyasarkan untuk meraih sokongan golongan miskin bandar yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) dalam usaha kempen pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia berdepan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar.

Mendiami PPR 17 tingkat Lembah Subang sejak dibina pada 2001, Mohamad Zainuddin, 64, berkata dia percaya sudah tiba masanya untuk menyatukan Umno dan PAS bagi matlamat sama.

"Sekarang ini yang pegang (kerajaan) mereka 'kencing' kita jugak. Kita bukan tak kenal siapa perdana menteri sekarang. Dia buat untuk anak-anak dia saja. Bukan untuk kita. Jadi kita (PAS-Umno) kena bergabung untuk ambil balik," kata Mohamad, anggota PAS, apabila diminta mengulas berhubung hubungan rapat parti itu dengan Umno ketika ini.

Selain mengulang dakwaan bahawa kerajaan HARAPAN gagal menunaikan janji 100 hari, Mohamad menegaskan bahawa usaha untuk membantu penduduk PPR perlu digiatkan.

Antara lain, dia mencadangkan agara kerajaan ketika ini memperkenalkan dasar sewa beli seperti yang diperkenalkan kerajaan BN kepada penduduk PPR Lembah Subang.

"Macam mana nak senang sikit kalau kena bayar sewa sampai bila-bila?" kata Ahmad, dan menambah bahawa sewa RM124 sebulan seharusnya dijadikan bayaran ansuran untuk akhirnya mendapat pemilikan unit PPR yang didiaminya.

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, bekas menteri kesejahteraan bandar perumahan dan kerajaan tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Mac lalu berkata kesemua penduduk asal PPR seluruh negara akan ditawarkan peluang untuk memiliki unit PPR pada harga RM15,000 di semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak melalui proses sewa beli.

Jangan janji tinggal janji

Seorang lagi penduduk, Ahmad Awang, 60, berkata, ADUN Seri Setia yang baru perlu mengunjungi kawasan mereka dengan lebih kerap untuk mengetahui masalah penduduk.

"Kita tidak harap mereka datang setiap hari, tapi mereka perlu menunaikan tanggungjawab.

"Sesiapa saja yang menang, kita mahu mereka selalu datang sini. Bukan hanya untuk berkempen," katanya dan menambah bahawa Halimey sebagai bekas ahli majlis Petaling Jaya dikenali oleh penduduk tempatan.

Antara masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu adalah penyelenggaraan bangunan, sampah yang tidak dikutip, dan sistem longkang yang tersumbat.

"Hari ini saja bekalan air terputus dan hanya ada semula pada pukul 5 petang. Perkara ini sering terjadi di sini.

"Kami sudah dijanjikan ia akan diselesaikan tapi kita akan tengok nanti macam mana. Kita tak mahu janji tinggal janji," katanya.

Sebelum ini, kata Ahmad, situasi sama yang menyaksikan ketiadaan perwakilan terjadi di bawah BN dan HARAPAN.

PAS ada peluang

Pemilik gerai Mohd Raya Ali, 40, pula berkata harapannya adalah untuk memilih calon yang boleh mendengar masalah penduduk dan membawa masalah itu kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Saya tahu Seri Setia adalah kawasan yang luas, tapi takkanlah tak boleh datang sebulan sekali? Mungkin menyertai mesyuarat bulanan kami.

"Tapi setakat ini tak ada. Ia hanya kunjungan sekali, dan mereka akan tidak pernah datang pada bulan-bulan seterusnya, jadi masalah kami tidak pernah selesai," katanya.

Berhubung kerjasama PAS dan Umno, Mohd Raya berkata dia percaya akan terjadi peralihan undi daripada pengundi yang melihat kerjasama kedua-dua parti itu sebagai kuasa pembangkang yang kuat.

"Peratusan undi untuk PKR mungkin akan berkurang. Malah PAS mungkin boleh menang," katanya yang menyifatkan Dr Halimah sebagai calon berpengalaman.
[Baca berita penuh]