Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jho Low tak salah, tak akan dibicara dengan adil di M'sia'
Diterbitkan:  Aug 24, 2018 4:01 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho kekal berkata dirinya tidak bersalah dan mendakwa tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, peguam Low berkata individu utama skandal 1MDB itu meminta orang ramai kekal bersikap terbuka sehinggalah semua bukti dikemukakan.

"Sejak dari mula ini adalah 'perbicaraan di media' dan malangnya sarkas ini diteruskan.

"Dia tidak akan menyerahkan diri kepada mana-mana mahkamah yang mana hukuman bersalah telah disabitkan oleh politik dan kepentingan peribadi yang melangkaui proses undang-undang.

"Amat jelas mustahil untuknya mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia, di mana kerajaan telah berkali-kali membuktikan tidak berminat terhadap kedaulatan undang-undang," kata kenyataan itu lagi.

Menurut The Edge, kerajaan hari ini memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Low dan bapanya Larry Low Hock Peng "tanpa kehadiran tertuduh", atas dakwaan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

Peguam Low mendakwa pertuduhan itu hanyalah langkah kerajaan Malaysia untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada usaha 1MDB yang kini mahu mempercepatkan penjualan kapal pesiar mewah, Equanimity.

"Jelas ia bagi mengalihkan perhatian terhadap langkah silap regim Mahathir menyita Equanimity," kata kenyataan itu lagi.

Hari ini 1MDB memfailkan permohonan di Mahkamah Admiralty Kuala Lumpur untuk mempercepatkan penjualannya ekoran keadaannya yang merosot akibat terdedah kepada cuaca dan laut.

Low menyifatkan permohonan itu sebagai tanda tindakan kerajaan merampasnya tanpa mengikut undang-undang telah memakan diri.

Lihat Komen
ADS