Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK BALAKONG | Tema utama kempen MCA bagi PRK Balakong adalah untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).

Malah 'semak dan imbang' menjadi slogan rasmi calonnya, Tan Chee Teong - meminta pengundi agar memberi peluang kepada calon bukan pilihan sepertinya untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memberi tekanan kepada HARAPAN agar tidak menjadi korup dan memenuhi janji manifesto.

Menjelang genap seminggu tempoh kempen, tinjauan rambang menunjukkan pengundi Balakong - termasuk anggota MCA sendiri - masih tidak yakin dengan kemampuan parti itu memainkan tanggungjawab tersebut.

Bagi peniaga dan anggota MCA Chong Kwi Weng, partinya perlu keluar dari BN dan membuktikan ia mampu berdiri sendiri sebelum cuba menjadi pendesak kepada pihak lain.

"Sebagai anggota parti, kami telah banyak kali beri mereka (MCA) peluang untuk bersuara. Selama 60 tahun mereka dalam kerajaan tetapi tak buat apa-apa.

"GERAKAN berani untuk tinggalkan BN. Kami, MCA, diheret ketika dalam BN), kenapa masih mahu kekal? Tak malu?" soal lelaki berusia 66 tahun itu.

Chong (gambar) berkata MCA tidak berani untuk mengkritik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isu 1MDB.

"Jangan hanya cakap tentang apa yang gagal dicapai HARAPAN untuk 100 hari," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di gerainya di Taming Jaya, Balakong.

Berani keluar BN

Menyuarakan sentimen sama, tukang kayu Tong Wah Sai tidak yakin MCA mampu melaksanakan tugas itu dan mencadangkan parti itu fokus untuk memulihkan parti dan imejnya yang terjejas teruk.

"Saya rasa mereka tak boleh jadi semak dan imbang kepada kerajaan. Mereka perlu reformasi, perlu tukar logo kerana ia tak boleh dipakai lagi.

"Parti itu tidak boleh lagi eksklusif untuk satu kaum. Ia perlu dibuka kepada semua, macam DAP. Dan mereka perlu keluar BN," katanya.

'Sudah terlambat, MCA'

Balakong merupakan kerusi majoriti Cina tetapi mempunyai pengundi Melayu yang signifikan, iaitu 30 peratus, yang kebanyakannya tinggal di Bandar Tun Hussein Onn.

Ketika ditemui, pesara kerajaan Rosli Samsuri (gambar) membangkitkan rasa tidak percaya pengundi terhadap MCA.

"Kerajaan sebelum ini tidak jujur dan MCA bersuara terlalu lambat tentangnya. Orang tak percaya mereka lagi.

"Nak buat parit pun orang tak percaya," katanya.

Bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya itu berkata dia lebih sanggup untuk memberi peluang kepada kerajaan HARAPAN yang menurutnya kini dipantau rakyat dengan cukup dekat.

"Kalau mereka goyang, sokongan kita terhadap mereka juga goyang," katanya lagi.

Seperti Rosli, kebanyakan pengundi Balakong yang ditemui Malaysiakini berkata mereka kekal menyokong HARAPAN di peringkat persekutuan dan juga negeri.

Tiada sebab nak tukar

Peniaga kecil Nur Siti Baizura Badrul (gambar, kanan) berkata tiada sebab untuknya beralih sokongan dan kemenangan MCA tidak akan mengubah apa-apa dalam kerajaan negeri.

"Saya puas hati dengan program kebajikan kerajaan negeri, seperti bas percuma dan peruntukan ibu tunggal. Ibu dan ramai kawan saya ibu tunggal.

"Anak saya dapat manfaat daripada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan bagi saya skim Peduli Sihat agak baik. Jadi 'tidak' untuk MCA," katanya.

Pemilik restoran Nazrin Syed Mohd Bukhari (gambar) pula menyatakan penghargaan kepada mendiang ADUN Balakong Eddie Ng atas kemajuan yang dialami kawasan DUN itu beberapa tahun ini.

"Semua berjalan dengan baik, kenapa nak tukar? Saya cuma berharap calon DAP mampu buat lebih baik lagi daripada Ng," kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Pada PRU ke-14, Ng menang besar, dengan majoriti 35,538 undi, mengatasi Mohd Ibrahim Ghazali (PAS) dan Lim Chin Wah.

Di kawasan majoriti Cina itu, MCA malah mendapat tempat terakhir dengan 5,874 undi, lebih sedikit berbanding PAS dengan 6,230 undi.

PRK Balakong akan berlangsung pada 8 September ini. Ia diadakan berikutan kematian Ng dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Tidak sepertu PRU lalu, PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Tan dan calon DAP Wong Siew Ki.

Lihat Komen
ADS