Senjata api hilang di Kem PGA ditemui semula, tiga ditahan
Polis menemui semula kesemua 21 pucuk revolver dan pistol yang dilaporkan hilang dari stor senjata Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kubang Badak, di Kuala Terengganu semalam dan menahan tiga lelaki, termasuk dua anggota polis awal pagi ini.
Polis menemui semula kesemua 21 pucuk revolver dan pistol yang dilaporkan hilang dari stor senjata Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kubang Badak, di Kuala Terengganu semalam dan menahan tiga lelaki, termasuk dua anggota polis awal pagi ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar berkata, kesemua senjata api itu ditemui bersama 596 butir peluru di Melaka berikutan penangkapan tiga lelaki itu. Kesemua mereka berumur 20-an.
Dua anggota PGA itu ditahan di kem berkenaan jam1 pagi tadi manakala orang awam terbabit ditahan di Negeri Sembilan, katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kem itu hari ini.
"Polis menganggap kes ini selesai," katanya.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, polis sedang menyiasat motif utama kejadian itu.
Kesemua senjata itu 19 pucuk revolver Smith and Wesson .38; sepucuk pistol Steyr; sepucuk pistol Browning; dan 596 butir peluru telah dicuri dari bilik senjata Kompeni C, Kem PGA itu semalam.
Tindakan cepat
Bakri berkata kehilangan senjata itu disedari jam 7.15 pagi semalam.
Kedua-dua anggota polis yang ditahan itu baru ditugaskan di Kem PGA Kubang Badak, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kejayaan polis menyelesaikan kes itu dengan cepat adalah hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan dan mengehadkan pergerakan anggota di kem itu sejak kehilangan senjata itu disedari pagi semalam.
"Kes ini selesai. Penjenayah telah ditangkap, senjata api yang dicuri telah dapat balik dan polis akan meneruskan siasatan bagi menyiapkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan," katanya.
Abdullah lega
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan rasa lega dengan penemuan semula senjata api yang dilaporkan hilang dari stor PGA Kubang Badak, semalam.
Bagaimanapun Abdullah berkata, tindakan yang perlu diambil berikutan kejadian itu penting bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
"Senjata yang hilang semuanya telah diperolehi semula, satu perkara yang melegakan dan siasatan perlu dijalankan untuk mendapat maklumat lain daripada mereka yang ditangkap," katanya kepada pemberita ketika menyaksikan pertandingan akhir kejohanan perahu layar Monsoon Cup di Pulau Duyong hari ini.
Perdana Menteri berkata, setakat ini maklumat berhubung motif kejadian itu masih disiasat.
"Belum ada maklumat yang muktamad untuk menentukan apa motif (kehilangan senjata apai itu)," katanya.
Ketika ditanya sama ada kejadian itu membahayakan keselamatan negara, Abdullah berkata:"Ini drebar sahaja ni, bukan yang betul-betul punya...
"Kita kena pastikan tindakan yang boleh diambil dengan memahami pengalaman yang dilalui berkaitan perkara ini dan tindakan-tindakan yang diambil itu mestilah yang dapat mencegah kejadian sebegini daripada berulang," katanya.

