Minum air mineral yang mencukupi dan rehat konsisten menjadi amalan kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong untuk kekal berstamina sepanjang tempoh berkempen.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Wong Siew Ki mendedahkan meskipun jadual hariannya sangat padat untuk berkempen sejak 18 Ogos lepas, namun beliau mendisiplinkan diri untuk tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.

"Cuaca yang panas dan kering sangat mudah untuk jatuh sakit, jadi pasukan kempen saya sentiasa menasihatkan saya supaya berehat secukupnya, selain minum air herba dan air mineral yang banyak untuk kekal 'hydrated'.

"Saya turut 'mencuri' masa lapang ketika berkempen untuk tidur sebentar kerana tidak mungkin sebagai seorang calon untuk keluar berjumpa pengundi dengan mata lebam akibat tidak cukup tidur," katanya selepas sidang media menaiktaraf Off Jalan Balakong baru-baru ini.

Katanya selain sokongan daripada pasukan HARAPAN, sokongan daripada anggota keluarganya turut membantu Wong dalam menjaga kesihatan sepanjang hari berkempen yang masuk minggu kedua.

"Apabila muka saya muncul di kaca televisyen, ibu saya akan menelefon saya untuk mengingatkan saya menjaga kesihatan ketika cuaca panas, ia sekali gus juga menaikkan semangat saya untuk kekal berstamina sepanjang berkempen," katanya.

Tambahan pula, mengikut laman sesawang rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada bacaan sederhana di sekitar Semenanjung iaitu melebihi 50 bermula awal Ogos lepas sehingga semalam (25 Ogos).

Mengikut pemerhatian Bernama yang berkongsi jadual kempen kedua-dua orang calon pula, mereka sekurang-kurangnya mempunyai satu acara setiap pagi dan petang lawatan ‘walkabout’ ke kawasan sekitar seperti pasar, pusat perniagaan, taman perumahan, gerai dan perkarangan rumah ibadat. ​​​​​

Jumlah lokasi berkempen itu juga tidak termasuk kempen berupa ceramah pada waktu malam yang kadangkala disertai oleh kepimpinan parti peringkat kebangsaan sehingga lewat malam di dua atau tiga lokasi berdekatan.

Sementara itu, calon MCA Tan Chee Teong mendedahkan kasih sayang isteri serta sokongan daripada anggota keluarga membuatkan beliau kekal berstamina dan bersemangat sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, walaupun pinggangnya sudah mula sakit pada hari keempat berkempen, namun beliau bersyukur kerana sokongan isterinya dalam menjaga makan minum seharian dan mengingati tentang penjagaan kesihatan menaikkan semangatnya mendekati pengundi sepanjang 21 hari ini.

"Saya banyak berdiri lama untuk berceramah dan sentiasa berjalan jauh untuk berjumpa dengan pengundi menyebabkan pinggang belakang saya sedikit lenguh.

"'Team' kempen MCA sentiasa mengingati saya supaya banyak minum air mineral kerana saya sentiasa terdedah kepada cuaca panas terutama ketika turun padang ke kawasan lapang untuk mendapat maklumbalas isu penduduk,” katanya.

Tan berkata walaupun tempoh 21 hari berkempen ini sangat mencabar dan panjang, namun beliau berasa puas dan gembira apabila melihat senyuman daripada penduduk yang berterima kasih terhadapnya kerana telah cuba menyelesaikan masalah mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen selama 21 hari bermula 18 Ogos lepas manakala hari mengundi ditetapkan pada 8 Sept ini.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan penyandangnya Eddie Ng Tien Chie, maut dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

- Bernama