Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ATM: Tugas tentera sebagai pengiring Hisham tamat pada PRU ke-14
Diterbitkan:  Aug 26, 2018 1:14 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan tiga anggota pasukan khas sepatutnya tidak lagi menjadi pengiring kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ini kerana tugas itu telah ditamatkan sebaik selepas PRU ke-14, kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.

"Menyahut kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, ATM telah melaksanakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

"ATM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan, berdasarkan peraturan semasa," kata kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas ATM.

ATM turut mengingatkan semua anggotanya agar tidak melanggar perintah dan peraturan semasa.

Susulan laporan Malaysiakini semalam, Mohamad berkata beliau telah mengarahkan siasatan segera terhadap dakwaan dua anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammuddin.

Hishammuddin pula berkata tiga anggota itu hanya berkhidmat untuk sementara waktu.

"Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima maka mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta," katanya, sambil menyifatkan mereka sudah begitu rapat dengan keluarganya.

Lihat Komen
ADS