MCA: Dr M tak yakin dengan menteri sendiri
Naib Presiden MCA Chew Mei Fun hari ini mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertegas untuk mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan menunjukkan beliau tidak yakin menterinya sendiri.
"Dr Mahathir tidak yakin dengan kabinetnya sendiri kerana beliau masih enggan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan meskipun Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah memerintah lebih 100 hari," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan sejurus selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu dipengerusika oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan dianggotai oleh bekas gabernor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican, pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram serta tokoh perniagaan Robert Kuok.
Daim sebelum ini memberi gambaran bahawa majlis penasihat berkenaan hanya untuk 100 hari namun Dr Mahathir kemudian berkata beliau masih memerlukan nasihat daripada mereka.
Chew mendakwa Majlis Penasihat Kerajaan mengambil alih peranan menteri serta mempersoalkan alasan DAP dan PKR tidak mengulas berhubung perkara itu.
"Jika mereka bersetuju dengan keputusan Dr Mahathir, adakah ini bermakna mereka mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kelayakan?
"Jika begitu, maka mereka perlu melepaskan jawatan dan beri laluan untuk orang lain," katanya.
Chew juga menegaskan bahawa MCA akan memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

