Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar ulang sokongan pada Dr M di kemunculan sulung program BERSATU
Diterbitkan:  Aug 26, 2018 10:18 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penampilan pertama di program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini dan mengisytiharkan bahawa ia adalah permulaan untuk kerjasama yang lebih kukuh antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anwar turut menyentuh berhubung kerjasamanya dengan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan perdana menteri itu.

"Ini mukadimah penting bagi saya. Program PKR daerah pun saya belum hadir.

"Saya hadir beberapa program PKR negeri tapi saya pilih program pertama (BERSATU) di cabang Klang ini untuk beri mesej.

"Saya ucap terima kasih kepada sahabat BERSATU dan mudah-mudahan tahap kerjasama boleh kita tingkatkan dan jangan lupa kita menang kerana sokongan rakyat," katanya di Majlis Sambutan Aidiladha BERSATU di Tapak Kompleks Sukan Pandamaran, Klang yang dianjurkan oleh Ketua Bahagian BERSATU Klang, Datuk Rais Hussin.

Dalam ucapannya, Anwar juga berkata kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah kehendak rakyat.

"Ini dalam sejarah jarang berlaku. Pertama dia kata, gandingan Anwar dengan Mahathir orang tak boleh fikir boleh berlaku.

"Tetapi kedua-dua kami berpakat kerana kasih dan cinta negara ini," katanya.

Mewakili PKR, Anwar memberi jaminan untuk memastikan kepimpinan Dr Mahathir akan menjadi kukuh dan berkesan agar perdana menteri dapat menerajui agenda awal bagi pembangunan negara tanpa sebarang masalah dan gangguan.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh berhubung rungutan bahawa HARAPAN tidak memenuhi 10 janji 100 hari yang dinyatakan dalam manifestonya.

"Ini bangunkan negara, ada hal kita boleh selesai satu hari, ada yang kita boleh selesai 2,100 hari, ada yang boleh selesai satu tahun atau dua tahun.

"Yang penting, niat dan kesungguhan untuk selesaikan, hentikan rasuah dan penyelewengan. Yang lain, insya-Allah kita ada kekuatan (untuk melaksanakannya)," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS