Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat menteri ekonomi ASEAN nilai perjanjian FTA, RCEP

Kemajuan pelaksanaan pelbagai perjanjian perdagangan bebas dan program kerjasama ekonomi merupakan antara topik yang akan dibincangkan di Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-50, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Mesyuarat lima hari yang diadakan di Singapura bermula esok itu juga akan membincangkan cara-cara untuk mempercepatkan kemajuan rundingan bagi memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat tersebut juga akan meliputi bahagian-bahagian berkaitan dengan mengukuhkan integrasi ekonomi dalam rantau dan pembabitan bersama rakan dialog.

“Ini termasuk memberi keutamaan bagi Singapore ASEAN Chairmanship 2018, pelaksanaan langkah-langkah Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025, menangani cabaran bagi langkah-langkah pemudahan perdagangan, halangan bukan tarif dan kemajuan penyepaduan sektor-sektor ekonomi,” kata MITI.

Menteri-menteri ekonomi ASEAN juga akan memeterai Perjanjian Rangka Kerja Protokol Perkhidmatan ASEAN Ke-10 dan Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN.

Delegasi Malaysia akan diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, dan juga akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan MITI untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Singapura.

Antara lainnya, Darell juga akan terlibat dalam beberapa siri perbincangan dan sesi perangkaian dengan pakar ekonomi, pelabur berpotensi, dewan perniagaan tempatan dan asing, diaspora dan syarikat Malaysia.

Beliau juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog, termasuk Australia, Kanada, India, Jepun, New Zealand, dan Amerika Syarikat.

ASEAN yang memiliki populasi lebih daripada 640 juta orang, kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia, menyumbang 27.5 peratus daripada perdagangan luar negara pada 2017, dengan perdagangan berjumlah RM487.42 bilion dan aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak US$2.17 bilion (US$1=RM4.10).

- Bernama

Lihat Komen
ADS