Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Menteri Pertahanan bagai ayam jantan bernajis di ekor
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

PAS menganggap Menteri Pertahanan Mohamad Sabu laksana seekor ayam jantan yang berkokok namun dicemari najis kerana membangkitkan semula isu parti itu menerima wang daripada Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata isu itu dikaitkan dengan kerjasama antara parti itu dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya kecil Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Katanya, apa yang dilakukan Mohamad itu sebagai sesuatu yang "malang" kerana menteri terbabit sengaja mahu melupakan kes seorang pegawainya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Beliau ibarat ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi," kata Nasrudin melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas calon PAS bagi kerusi parlimen Indera Mahkota berkata Mohamad serta anggota kabinet yang lain wajar mendengar teguran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui ada antara mereka tidak berpengalaman.

Justeru kata Nasrudin menteri terbabit wajar menambah baik fungsi mereka di kementerian masing-masing selain memikirkan langkah melaksanakan agenda untuk rakyat.

"Mereka tidak selayaknya terus-menerus melakukan fitnah lapuk yang entah berapa kali dikitar semula.

"Lebih memalukan apabika ia dikitar sendiri oleh sang menteri yang tidak ubah lagaknya seperti cybertrooper (askar siber) upahan," katanya.

Masih menjaja fitnah

Untuk rekod Mohamad ialah bekas timbalan presiden PAS sebelum beliau serta sejumlah pemimpin lain diketepikan perwakilan parti sewaktu pemilihan pad 2015.

Ekoran penyingkiran beramai-ramai itu Mohamad dan beberapa pemimpin kanan lain menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kemudian menjadi salah satu seteru utama PAS selain DAP.

AMANAH, PKR dan DAP kemudian membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertainya.

PAS tidak menyertai HARAPAN dan menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14. Dalam keadaan begitu PAS meletakkan matlamat sekurang-kurangnya menjadi king maker dalam usaha membentuk kerajaan pusat.

Bagaimanapun HARAPAN berjaya mengetepikan BN buat kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun, manakala PAS kekal menjadi pembangkang di peringkat pusat.

Kata Nasrudin amat malang apabila HARAPAN yang sudah menjadi kerajaan terus mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk "menjaja fitnah".


Baca Mat Sabu: Isu integriti tidak akan dikompromi


"Sepatutnya mereka menumpukan fokus untuk memulihkan kegagalan menyempurnakan 10 janji 100 hari dan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur, tetapi sibuk dengan agenda ceramah ala pembangkang untuk membentuk kembali persepsi lapuk yang telah mereka doktrinkan selama ini.

"HARAPAN sepatutnya mengambil pengajaran tempoh 100 hari pentadbiran yang menunjukkan prestasi gagal. Pelbagai masalah yang lebih buruk telah dilakukan satu demi satu.

"Rakyat terus ditekan dengan pelbagai sekatan kewangan. Bonus tidak diberi. Kenaikan gaji ditangguhkan. BR1M akan dihapuskan. Tol dikekalkan.

"SST (cukai jualan dan perkhidmatan) lebih menguntungkan peniaga. Harga petrol tidak turun. PTPTN (pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tetap diteruskan. AES terus terpacak.

"Harga barang tidak turun secara signifikan. Polisi dan keputusan kerajaan banyak flip flop (berdolak-dalik). Apa sebenarnya yang kerajaan telah lakukan?" katanya.

Lihat Komen
ADS