PM: Pegawai, anggota polis akan didakwa jika ada bukti kukuh
Pihak pendakwaraya tidak akan bertolak ansur jika terdapat bukti dan keterangan kukuh terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan, termasuk yang melibatkan pegawai dan anggota polis, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pihak pendakwaraya tidak akan bertolak ansur jika terdapat bukti dan keterangan kukuh terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan, termasuk yang melibatkan pegawai dan anggota polis, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, pendakwaan hanya dibuat apabila pendakwaraya puashati terdapat keterangan mencukupi dan kukuh bagi membuktikan kesalahan itu di mahkamah, katanya dalam jawapan bertulis kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kulasegaran ingin tahu mengapa tiada anggota polis yang didakwa oleh Peguam Negara berhubung kes-kes kematian dalam tahanan polis, menembak mati orang awam dan jenayah lain yang dilakukan anggota polis.
Abdullah berkata, bagi kes kematian dalam tahanan polis, arahan telah dikeluarkan oleh pendakwaraya supaya ia dihadapkan kepada majistret untuk siasatan dibuat melalui inkues.
Sekiranya keputusan siasatan majistret itu mendapati ada pegawai atau anggota polis bertindak menyalahi undang-undang, maka katanya, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pendakwaraya terhadap mereka.
Sambutan dingin
Semasa sesi soal jawab pula, dewan diberitahu, program menggalakkan pakar perubatan yang bekerja di luar negara, pulang berkhidmat di tanahair mendapat sambutan dingin walaupun pelbagai insentif disediakan oleh kerajaan.
Menurut Bernama, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Datuk Lee Kah Choon berkata, kerajaan akan terus berusaha menggalakkan pakar perubatan rakyat negara ini kembali berkhidmat di tanahair.
"Kita setuju proses ini agak perlahan dan sambutan tidak berapa hangat," katanya menjawab soalan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail (BN-Gombak) berhubung perkara tersebut.
Lee berkata, antara insentif yang disediakan ialah memberi kelonggaran perkhidmatan wajib selama tiga tahun, sebaliknya hanya perlu melakukan khidmat masyarakat bagi tempoh tertentu yang ditetapkan.
Katanya, pendapatan mereka juga akan dikecualikan daripada cukai selain mereka dibenarkan membawa balik kereta yang dibeli di luar negara dengan mendapat dua permit import (AP).
Suami atau isteri mereka, kalau bukan rakyat Malaysia, akan diberi taraf penduduk tetap dalam tempoh yang ditetapkan, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.