Kini wujud kecenderungan di kalangan para pelabur di rantau Asean untuk mengambil pekerja secara kontrak iaitu setahun atau dua tahun, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G Rajasekaran.

"Ia sudah berlaku di Vietnam, Indonesia dan seluruh negara rantau Asean. Pekerja kontrak hanya mendapat gaji tetapi tidak ada pampasan apabila kontrak tamat," katanya.

Di Malaysia, katanya, firma yang paling banyak mengamalkan pengambilan pekerja secara kontrak ialah syarikat yang terbabit dengan sektor tenologi maklumat terutama yang beroperasi di Cyberjaya.

Rajasekaran berkata, apabila kes ini dibawa kepada Kementerian Sumber Manusia, para pegawainya menjelaskan ia tidak salah.

Katanya, kilang kereta Proton, milik kerajaan juga mengamalkan cara ini dengan mengambil pekerja secara kontrak.

"Perkara yang berlaku ini sangat serius kepada masa depan pekerja, tiada jaminan mereka akan kekal dalam sesuatu pekerjaan sekarang ini," katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui selepas majlis dialog mengenai Piagam Sosial Asean di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama ialah Presiden MTUC, Syede Shahir Mohamud dan aktivis pekerja, Charles Santiago

'Pekerja dikerah'

Rajasekaran mendakwa undang-undang buruh di rantau Asean sangat buruk kerana ia ditentukan oleh majikan, terutama pelabur asing.

Katanya, mereka mengambil peluang itu dengan menekan kira-kira 300 juta pekerja dan menjadikan negara Asean sebagai kilang produk untuk pasaran dunia.

"Keringat pekerja dikerah, gaji yang rendah, kebajikan diabaikan dan undang-undang yang menindas mereka. Kerajaan pula tidak membantu, menjadikan fenomena ini berleluasa. Pekerja pula tidak berani menentang kerana bimbang periuk nasi mereka tertutup," katanya.

Berikutan itu, katanya, pelabur besar asing mengambil peluang itu untuk menjadikan rantau ini tempat pengeluaran barangan secara besar-besaran untuk pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

"Masa depan pekerja di Asia Tenggara ditentukan oleh pelabur dan bukannya oleh kerajaan atau pemimpin kerajaan. Pelabur menindas pekerja dengan `kebenaran' kerajaan," katanya ketika ditemui selepas majlis dialog mengenai Piagam Sosial Asean di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama ialah Presiden MTUC, Syede Shahir Mohamud dan aktivis pekerja, Charles Santiago.

Katanya, persidangan pemimpin Asean tidak pernah membincangkan masalah kaum pekerja tetapi sebaliknya memfokuskan kepada pelaburan dan pembangunan serantau.

'Masa depan murah'

Malah, katanya, masalah asas pekerja seperti gaji rendah dan kebajikan mereka yang terabai, masih belum selesai kerana kerajaan mahu ia diselesaikan oleh pelabur.

"Apabila kesatuan sekerja cuba membantu pekerja, pelabur dengan angkuh menempelak 'siapa kamu untuk mencampuri urusan ini? Majikan atau pelabur juga mendakwa kesatuan sekerja tidak membantu pembangunan negara ," katanya lagi.

Rajasekaran berkata, golongan pekerja di Asean kini berdepan dengan masa depan yang muram kerana undang-undang pekerja tidak membela mereka.

Sebagai contoh, katanya, di Pulau Batam dan Bintan, pekerja warga Indonesia di syarikat milik pelabur Singapura menghadapi pelbagai ketidakadilan, seperti soal gaji yang rendah dan kebajikan terabai.

Kerajaan Amerika Syarikat pula, tambahnya, mewajibkan negara Asean mengamalkan undang-undang buruh Singapura untuk membolehkan pasaran mereka menembusi pasaran Amerika.

Tetapi katanya, berlaku kecelaruan di kalangan negara Asean dan ini menyebabkan undang-undang, buruh yang ada tidak membantu golongan pekerja.