Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Syiah itu dakwaan, saya pun boleh dakwa saudari bercinta'

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menolak serangan yang sekali lagi mengaitkannya dengan fahaman Syiah yang difatwakan sesat di negara ini.

“Itu saya tak perlu jawab (hadir ke penempatan Syiah).

“Saya melakukan ibadah korban di banyak tempat di Thailand pada setiap tahun dan itu adalah soal peribadi (lawatan) termasuk ke kem keamanan. Tetapi kali ini saya turut diiringi pegawai tentera.

“Itu dakwaan, saya pun boleh buat dakwaan saudari bercinta dengan siapa-siapa,” katanya berseloroh ketika menjawab soalan seorang soalan pemberita wanita hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian dalam sidang media di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur hari ini.

Kumpulan pendesak Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebelum ini mendakwa menteri itu secara senyap-senyap menyertai majlis korban Aidiladha di sebuah “markas Syiah” di selatan Thailand.

Mohamad bagaimanapun tidak berahsia dan berkongsi gambar-gambar ibadah korban di daerah Pathalung itu di Facebook beliau.

Beliau juga menjelaskan sudah menjadi kebiasaannya “menghubungkan silaturahim antara keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan terdekat sempena perayaan”.

Pensyarah hadis terkenal Dr Ustaz Rozaimi Ramle turut menyentuh isu itu di laman sosialnya semalam apabila berkongsi gambar Mohamad di hadapan rak buku mempamerkan kitab-kitab syiah.

“Jika gambar ini tulen, mohon menteri berhati-hati,” tulisnya di Facebook.

Lihat Komen
ADS