Kadar faedah pinjaman negara ini dijangka meningkat selepas Bank of Commerce (BOC) mengumumkan ia telah menaikkan kadar pinjaman asasnya (BLR) kepada 6.25 peratus hari ini daripada 6.0 peratus sebelumnya.

Kenaikan itu mencerminkan kadar di negara ini buat pertama kalinya akan berada dalam aliran meningkat selepas tempoh tujuh tahun sejak krisis kewangan 1997/98, kata sumber-sumber sektor perbankan.

Pengumuman BOC yang disiarkan dalam akhbar-akhbar hari dibuat selepas Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 30 mata asas kepada 3.0 peratus Khamis lalu.

Menurut laporan Bernama, sumber-sumber berkenaan berkata, dengan tindakan BOC itu, bank-bank lain dijangka akan turut mengikut jejak langkah bank tersebut bermula esok.

Akibatnya, kadar berian pinjaman bagi pinjaman kereta dan perumahan serta gadai janji yang disandarkan kepada BLR dijangka akan meningkat, kata sumber-sumber itu.

Bagi kadar deposit, ia juga dijangka meningkat dengan bank-bank akan membuat pengumuman berhubung perkara itu tidak lama lagi.

BLR merupakan kadar rujukan di mana kadar berian pinjaman bank disandarkan kepadanya. Ia bergantung kepada pergerakan OPR.

Sumber-sumber itu berkata ini akan menggalakkan pelanggan meningkatkan deposit mereka dalam bank dengan harapan mendapat pulangan yang tinggi dan dalam proses itu, mengekang perbelanjaan dan tekanan inflasi.

Pelanggan-pelanggan bank yang mempunyai pinjaman dengan kadar berian pinjaman tetap mungkin tidak terjejas pada awalnya berikutan kenaikan dalam BLR ini.

Tetapi kelaknya mereka juga akan perlu membayar faedah yang lebih tinggi kerana kebanyakan pinjaman tetap adalah bagi tempoh jangka pendek.

Sejak krisis kewangan, Malaysia telah memulakan dasar kewangan pengembangan dengan bank-bank sering menawarkan pinjaman yang sangat kompetitif pada kadar tetap.

Bagi yang membuat pinjaman dengan pelbagai kadar serta pelanggan baru akan tertakluk kepada kadar baru itu dan perlu membayar lebih sedikit.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu berkata kerajaan dan pihak berkuasa kewangan dijangka akan memastikan pergerakan kadar yang beransur-ansur bagi mengelakkan sebarang reaksi spontan dalam pasaran.

Dengan lebih ramai pelanggan menyimpan wang mereka dalam bank untuk mendapat pulangan lebih tinggi, akan terdapat kurang dana dalam peredaran yang mana dalam proses itu akan membantu mengekang tekanan inflasi.

Ketua pegawai eksekutif Standard Chartered Bank Shayne Nelson berkata pada Khamis lepas bahawa langkah Bank Negara menaikkan kadar dasar semalamannya (OPR) sebanyak 30 mata asas kepada 3.0 peratus tepat pada masa kerana ia akan mengurangkan tekanan inflasi.

Bagaimanapun, Nelson berkata jurang kadar faedah masih lagi besar antara Amerika Syarikat dan Malaysia.