Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu serah pembelian aset tentera pada pakar

Kuasa menentukan segala pembelian aset ketenteraan akan diserahkan kepada pasukan tentera yang pakar dalam bidang itu dan bukan kepada menteri, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Ini kerana, katanya, ahli eksekutif kerajaan tidak tahu keperluan tentera dan dengan menyerahkan tugas itu kepada pihak tentera sendiri boleh mengelakkan pembaziran dan penyelewengan.

“Saya, kalau orang tanya saya nak beli apa untuk Kementerian Pertahanan bagi lima hingga ke 10 tahun akan datang, saya akan panggil sama ada pihak tentera udara, darat atau laut (tanya) apa yang diperlukan.

“Mereka yang pakar akan menentukannya, manakala saya (eksekutif) akan tentukan dasar. Serahkan urusan pembelian kepada pakar,” katanya.

Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2018, di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Sabu yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata langkah tersebut diambil beliau kerana dirinya sendiri kurang arif dalam perkara itu.

“Sebab apa? Sebab, saya tak tahu (keperluan tentera). Jadi, benda yang kita tak tahu jangan kita berlagak tahu.

“Jadi, saya akan rujuk kepada tentera udara, darat atau laut untuk mengetahui apa yang diperlukan kerana saya tidak tahu. Apa yang kita tidak tahu, kita tak boleh berlagak seperti kita tahu,” katanya.

Tambah anggota parlimen Kota Raja itu lagi ia sekali gus akan menghalang penyelewengan yang berleluasa dalam kementerian ini di bawah pentadbiran sebelum ini.

“Keutamaan saya adalah menambah baik pentadbiran perolehan dan kewangan jadi tidak akan ada lagi penyelewengan dan kelemahan dalam bidang ini,” katanya.

Pelbagai kaum sertai tentera

Sementara itu, Mohamad turut mengumumkan timbalannya, Liew Chin Tong akan mengetuai usaha kementerian itu untuk mengambil lebih ramai kemasukan Cina dan India dalam angkatan tentera.

Mat Sabu berkata ia sejajar dengan langkah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Liew untuk menggalakkan pelbagai kaum menyertai tentera.

“Perdana menteri kita sangat berani, beliau lantik bukan saja Cina tetapi seseorang daripada DAP untuk jadi timbalan menteri.

“Jadi, orang boleh lihat kesungguhan kita untuk semua rakyat berbagai kaum menyertai pasukan tentera pada masa akan datang.

“Dan saya yakin kita perlu membuat galakan, kerana sekarang ini kita tak mahu dilihat, bila sebut sahaja kementerian pertahanan orang akan kata itu kerja orang Melayu-Bumiputera, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Lihat Komen
ADS