Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hentilah mainkan isu mazhab, Hanipa tegur Rozaimi
Diterbitkan:  Aug 28, 2018 3:46 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Jarang-jarang berlaku, tetapi sesekali Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 'membela' parti yang selalu menjadi kecamannya, iaitu PAS.

Kali ini Hanipa Maidin mempertahankan tindakan pemimpin PAS berbaik-baik dengan Iran tetapi dikritik seorang pendakwah terkenal di negara ini Dr Rozaimi Ramle.

Kata Hanipa penglibatan PAS dengan Iran bukan sesuatu yang baru, malah pemimpin parti terbabit yang sangat dihormati ramai, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah ke Iran.

Malah kata Hanipa bekas mursyidul am PAS berkenaan menyertai program dianjurkan oleh penganut Syiah.

"Tapi itu bukan bermakna mereka Syiah. Kita perlu adil walaupun terhadap orang yang kita tak suka," katanya.

Hanipa berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini mengenai teguran Rozaimi terhadap penyokong PAS.

Kata Rozaimi, penyokong PAS dilihat bersikap taasub kerana mengecam seorang menteri negara ini yang mengadakan program di kawasan petempatan negara jiran yang didiami penganut Syiah tetapi mempertahankan kunjungan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran pada penghujung 2016.

"Apabila melihat berita ini, dengan hormat, saya ingin kata mungkin orang parti tu pun boleh kata pada Dr (Rozaimi): enta pun dua kali lima juga... taasub dari segi lain," kata Hanipa.

Justeru Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang menyarankan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris itu tidak berhujah menggunakan isu perbezaan mazhab.

"Jadi berhentilah mainkan isu mazhab ni Dr. Ia hanya membuat imej dan reputasi anda merosot," katanya.

Menurut Hanipa beliau sendiri banyak membaca kitab-kitab ulama Syiah semasa masih bersekolah.

Bagaimanapun kata Hanipa tindakan itu tidak menyebabkan beliau bertukar menjadi penganut fahaman Syiah.

"Saya tetap kekal dalam mazhab Sunni walaupun banyak kali difitnah dan dituduh bermazhab Syiah. Tak ada masalah, isu kecil," katanya.

Lihat Komen
ADS