Peguam Eric Paulsen dan bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan hari ini menarik balik permohonan mereka untuk merujuk persoalan undang-undang berkenaan keperlembagaan Akta Hasutan 1948.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah kemudiannya membatalkan permohonan kedua-dua lelaki itu selepas mereka memaklumkan untuk menarik balik permohonan berikutan keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 Ogos lalu yang melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Pada 5 Feb 2015, Eric yang diwakili peguam Zaid Malek mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut berhubung dakwaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mempromosi fahaman ekstremis di negara ini.

Eric didakwa menerbitkan kenyataan itu dalam laman sosial Twitter miliknya di https://twitter.com/ericpaulsen101, di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di Kuala Lumpur, pada 8 malam, 10 Jan 2015.

Sementara itu, Arutchelvan yang diwakili peguam New Sin Yew juga mengaku tidak bersalah pada 23 Nov 2015, atas pertuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial Facebook berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Februari 2015.

Arutchelvan didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Perundangan D5, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 12 tengah hari, 12 Feb 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu New yang ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu mereka telah memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung keperlembagaan Akta Hasutan pada awal tahun ini.

"Kita menarik balik permohonan itu kerana ia telah bersifat akademik memandangkan kedua-dua anak guam telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen awal Ogos lepas," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir mewakili pihak pendakwaan dalam permohonan itu.

- Bernama