Lim: Agong perkenan pelaksanaan SST minggu lalu
Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 24 Ogos lalu.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan perkara itu melalui kenyataan medianya hari ini berkata, ia bermakna SST boleh dikuatkuasakan mulai 1 September 2018 dengan menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan.
"Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V kerana telah memperkenan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam mendukung janji manifesto pada pilihan raya yang lalu.
"Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya mengutip RM21 bilion di bawah SST berbanding dengan RM44 bilion di bawah GST pada 2019," katanya.
Lim menambah, kerajaan juga berharap pengusaha perniagaan dapat mematuhi peraturan serta mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.
"Ini bagi memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan dan juga sebagai langkah Kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memantau dan mengambil tindakan ke atas sebarang akiviti pencatutan (profiteering)," katanya.
Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.
Pada sesi persidangan 20 Ogos lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Jualan 2018 bagi membolehkan SST dikembalikan.
Memansuhkan GST dan menggantikannya dengan SST merupakan antara sepuluh janji Pakatan Harapan dalam masa 100 hari pentadbirannya.

