Terjemahan Jika pihak polis sendiri gagal mencegah kecurian senjata api dalam kawalannya, jadi bagaimana pasukan itu mampu melindungi keselamatan orang awam?

Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai mengulas laporan mengenai kecurian 21 senjatapi dan 645 peluru dari Kem Polis Pasukan Gerak Am (PGA) di Terengganu Sabtu lalu.

"Pasukan polis sepatutnya menangkap pencuri, tetapi jika ia tidak mampu mencegah kecurian di kem keselamatan mereka sendiri, jadi bagaimana berkesannya mereka untuk menangkap penjenayah dan pencuri harta awam?" soalnya satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah boleh lagi'berlembut' dengan kejadian itu dan tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang gagal menyediakan kawalan keselamatan sehingga berlaku kecurian tersebut.

"Dengan ancaman keganasan dan pembabitan rakyat Malaysia seperti Dr Azahari Husin orang paling dikehendaki di Asia kejadian seumpama itu menjejaskan keyakinan terhadap kemampuan pihak polis.

"Bayangkan bahaya yang dihadapi negara jika senjata api itu jatuh ke tangan (pihak tidak bertanggungjawab) seperti para pengganas," tambahnya.

Walaupun pihak polis berjaya menemui semula senjata api itu dalam tempoh yang singkat, namun, katanya, masih ada persoalan yang belum terjawab, umapamanya, bagaimana senjata itu boleh dibawa keluar dari kem, motifnya dan mengapa ianya dibawa ke Melaka dan ditinggalkan di sebuah balai polis?

Kajisemula prosider keselamatan

Menurut laporan akhbar, dua anggota polis dan seorang pelajar sekolah teknik telah ditangkap berhubung kes tersebut.

Sementara itu AFP memetik Ketua Polis Terengganu Husin Ismail sebagai menolak tanggapan bahawa kes kecurian itu ada kaitan dengan aktiviti militan.

Katanya, mereka yang terbabit melakukannya berniat menjual senjata api tersebut dan tiada petanda yang ianya ada kaitan dengan perkara lain.

Sementara itu, Lim menggesa supaya dikaji semula prosidur keselamatan di semua kem yang menyimpan senjata api bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

"Mungkin, pada masa depan, nasib negara dan pihak polis tidak akan sebaik ini," katanya.