Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH beri keterangan isu laporan polis SPR ke atas Najib

Pemangku Pengerusi BERSIH 2.0, Shahrul Aman hari ini hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung laporan polis ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis berkenaan sebelum ini dibuat oleh wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mendakwa bahawa Najib melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos lalu.

Shahrul yang hadir ditemani peguamnya, Vince Tan Hoo Seh dan pengarah eksekutif BERSIH 2.0, Yap Swee Seng dilihat masuk ke bangunan balai polis itu kira-kira pukul 4 petang dan dilihat keluar selepas sejam kemudian.

Vince ketika ditemui media berkata, anak guamnya amat berharap siasatan dan tindakan lanjut dapat dilakukan jika wujud apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Kertas siasatan telah dibuka dan anak guam saya telah dipanggil sebagai saksi untuk memberikan keterangan serta merekodkan kenyataan beliau.

“Dan saya difahamkan bahawa pembuat laporan adalah wakil SPR sendiri dan mereka merupakan pakar dalam isu pilihan raya dan sekiranya mereka melaporkan kepada pihak polis bahawa wujudnya satu kesalahan, rasanya mungkin ada satu alasan yang munasabah bahawa wujudnya satu kesalahan dan hak siasatan yang adil boleh dibuat tentang kes ini,” katanya.

BERSIH sebelum ini berkongsi tangkap layar kenyataan Najib di Facebook dan mendakwa bekas pengerusi BN itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kenyataan Najib yang dimaksudkan adalah catatan Facebook pada pagi 4 Ogos lalu, iaitu pada hari pengundian PRK Sungai Kandis.

Dalam kenyataan itu, Najib meminta pengundi memberi peluang untuk BN menjadi suara pembangkang yang lebih kuat untuk mempertahankan kepentingan rakyat di Sungai Kandis dan Selangor.

Seksyen 26(1)(a) menyatakan, pada hari mengundi, tiada seorang pun boleh mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat, apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya.

Manakala bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.

Lihat Komen
ADS