Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyatakan kebimbangan berhubung 'komunikasi' dan 'maklumat penyiasatan yang terlepas' dalam isu tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini menjadi pengiring Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam kenyataan media hari ini, naib ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithin berkata, insiden berkenaan memberi kesan yang "jauh lebih besar".

"Dalam tempoh empat bulan, adalah sesuatu yang amat mustahil untuk beralasan bahawa kes pengiring Hishammuddin sebagai 'terlepas pandang', apatah lagi jika keadaan itu sengaja dibiarkan berlaku oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT).

"Kesan kepada insiden ini jauh lebih besar. Komunikasi antara pengiring berkenaan dan pegawai tertinggi angkatan tentera mungkin masih berlangsung sepanjang empat bulan ini.

"Malah kita tidak tahu, maklumat penyiasatan apa yang telah terlepas dalam tempoh berkenaan," katanya.

Menyifatkan perkara itu sebagai kecuaian yang tidak boleh diterima, Shazni Berkata perkara itu juga menjejaskan reputasi ATM,

"Justeru dengan penuh takzim, kita menggesa agar Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mengambil tanggungjawab penuh dan menyelesaikan isu ini segera," katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini yang memetik sumber ATM dan kementerian pertahanan melaporkan bahawa ketiga-tiga anggota berkenaan masih menjadi pegawai pengiring kepada Hishammuddin yang bukan lagi menteri pertahanan selepas PRU14.

Dua daripada pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) manakala pengiring ketiga pula adalah seorang komando.

Sumber ATM juga mendakwa ketiga-tiga anggota itu masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

Bekas menteri itu sebelum ini menyatakan sudah menawar peluang kerja kepada anggota berkenaan dengan syarat mereka berhenti serta-merta daripada ATM.

Susulan pendedahan itu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata beliau telah mengarahkan siasatan segera.

Hishammuddin dalam kenyataannya, mendakwa tiga anggota terbabit yang begitu rapat dengan keluarganya, hanya berkhidmat untuk sementara waktu.

Malah, katanya, beliau telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya hanya jika mereka meletakkan jawatan dalam tentera.

Hishammuddin bagaimanapun menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung perkara itu.