Menteri sahkan pegawai iring Hisham diarah balik ke ATM
Tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sehingga kini masih menjadi pegawai pengiring kepada bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipanggil balik, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
“Ya mereka diarahkan lapor semula ke ATM,” kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada wartawan pada satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Hishammuddin dalam ciapan menerusi akaun twitter peribadinya @HishammuddinH2O, berkata, dirinya sudah dimaklumkan mengenai keputusan ketiga-tiga anggota berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan keputusan mereka untuk menamatkan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, sekiranya tindakan mereka tidak betul, saya pasti Markas ATM akan menyiasat perkara ini sepenuhnya.
“Kami akur atas apa-apa keputusan yang berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.
Saya telah dimaklumkan keputusan mereka untuk menamatkan perkhidmatan. Walaubagaimanapun, sekiranya tindakan mereka tidak betul, saya pasti @MarkasATM akan menyiasat perkara ini sepenuhnya. Kami akur atas apa-apa keputusan yang berlandaskan peruntukan undang-undang. https://t.co/XlchxNvnmd
— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) August 26, 2018
Sebelum ini, Malaysiakini yang memetik sumber ATM dan kementerian pertahanan melaporkan bahawa ketiga-tiga anggota berkenaan masih menjadi pegawai pengiring kepada Hishammuddin yang bukan lagi menteri pertahanan selepas PRU14.
Dua daripada pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) manakala pengiring ketiga pula adalah seorang komando.
Sumber ATM juga mendakwa ketiga-tiga anggota itu masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.
Bekas menteri itu sebelum ini menyatakan sudah menawar peluang kerja kepada anggota berkenaan dengan syarat mereka berhenti serta-merta daripada ATM.
Susulan pendedahan itu Sabtu lalu, Mohamad berkata beliau telah mengarahkan siasatan segera.
Hishammuddin dalam kenyataannya, mendakwa tiga anggota terbabit yang begitu rapat dengan keluarganya, hanya berkhidmat untuk sementara waktu.
Malah, katanya, beliau telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya hanya jika mereka meletakkan jawatan dalam tentera.

